Bantuan guaman percuma YBGK diperluaskan di Mahkamah Syariah Pahang

Abdullah Hakim Ahmad
Abdullah Hakim Ahmad
A
A
A

KUANTAN – Khidmat bantuan guaman percuma Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) bakal diperluas di Mahkamah Syariah Pahang bermula tahun hadapan.

Timbalan Pengerusi Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Pahang, Abdullah Hakim Ahmad berkata, peluasan bantuan guaman percuma itu satu langkah positif bagi memastikan semua golongan masyarakat mendapat pembelaan sewajarnya bukan sahaja melibatkan kes jenayah di Mahkamah Sivil tetapi juga dalam kes jenayah syariah.

Menurutnya, PGSM Pahang turut dipertanggungjawabkan sebagai Sekretariat Bantuan Guaman Percuma YBGK bagi Negeri Pahang.

"Bagi tujuan itu, kira-kira 50 peguam syarie akan mengikuti kursus sebagai peguam panel YBGK dan mula memberikan khidmat seawal tahun hadapan..

"PGSM Pahang yakin inisiatif ini akan memperkukuh sistem keadilan syariah di negeri ini serta memberi manfaat besar kepada masyarakat yang memerlukan bantuan guaman percuma," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Abdullah Hakim berkata, PGSM Pahang bersama pihak YBGK telah mengadakan satu taklimat berhubung peluasan perkhidmatan bantuan guaman percuma bagi kes jenayah syariah di Negeri Pahang baru-baru ini.

Beliau berkata, taklimat dipengerusikan Ketua Hakim Syarie Negeri Pahang, Datuk Abdul Walid Abu Hassan memperlihatkan sokongan penuh Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pahang terhadap usaha memperkukuh akses masyarakat kepada keadilan di Mahkamah Syariah.

"Taklimat disampaikan Pegawai Eksekutif YBGK, Nurakmal Farhan Aziz telah menghuraikan peranan serta skop perkhidmatan YBGK dalam menyediakan bantuan guaman bagi semua kategori kesalahan jenayah syariah di bawah Enakmen Jenayah Syariah Negeri Pahang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!