Tempat makan tular di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands berdepan hakisan

Hakisan yang berlaku mencetuskan kebimbangan orang awam.
Hakisan yang berlaku mencetuskan kebimbangan orang awam.
A
A
A

IPOH – [DIKEMAS KINI] Sebuah kawasan persinggahan popular pelancong di laluan Jalan Simpang Pulai–Cameron Highlands menjadi tular di media sosial selepas gambar pemandangan dari udara mendedahkan keadaan hakisan tanah di lokasi berkenaan.

Menerusi perkongsian seorang pengguna aplikasi TikTok, rakaman menggunakan dron menunjukkan sebahagian tanah berhampiran kawasan tempat makan itu telah terhakis, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan warga maya.

Susulan itu, tahap keselamatan kawasan berkenaan dipersoalkan memandangkan ia sering menjadi tumpuan pelancong dan pengguna jalan raya yang melalui laluan berkenaan menuju ke Cameron Highlands.

Difahamkan, pemilik lokasi tersebut menerusi maklum balas di ruangan komen akaun TikTok Port Lepak Jerung memaklumkan bahawa keadaan itu tidak berlaku ketika premis berkenaan mula beroperasi kerana sistem perparitan dan longkang diselenggara dengan baik.

Menurutnya, kerosakan pada longkang menyebabkan aliran air tidak dapat mengalir dengan sempurna, sekali gus mengakibatkan hakisan tanah di kawasan berkenaan.

Pemilik turut berharap agar pihak berkaitan dapat segera membaiki longkang yang terputus bagi memastikan aliran air terkawal dan mengelakkan keadaan bertambah buruk.

Sementara itu, Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing berkata, semakan status penggunaan tanah mendapati kawasan berkenaan diberikan permit penggunaan tapak oleh Jabatan Perhutanan Perak kerana ia terletak dalam kawasan hutan simpan.

Jelasnya, sebarang isu berkaitan keselamatan memerlukan tindakan segera daripada agensi berkaitan termasuk Jabatan Perhutanan dan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memastikan keselamatan pengunjung terjamin.

"Saya akan meminta pihak berkaitan mengambil tindakan susulan dengan segera dan menyeru pengusaha supaya mengambil langkah pencegahan serta memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa sehingga kebimbangan keselamatan ini dapat diselesaikan.

Artikel Berkaitan:

Tangkap layar rakaman video dari udara yang tular menunjukkan hakisan yang berlaku berhampiran kawasan persinggahan popular pelancong di Jalan Simpang Pulai–Cameron Highlands.
Tangkap layar rakaman video dari udara yang tular menunjukkan hakisan yang berlaku berhampiran kawasan persinggahan popular pelancong di Jalan Simpang Pulai–Cameron Highlands.

"Pengunjung juga dinasihatkan supaya membuat perancangan rapi ketika melancong, terutamanya dalam musim cuti sekolah, serta sentiasa berwaspada terhadap perubahan iklim atau cuaca ekstrem di kawasan berisiko tinggi," katanya kepada Sinar Harian.

Untuk rekod, Jalan Simpang Pulai–Cameron Highlands pernah beberapa kali mengalami kejadian tanah runtuh sehingga menjejaskan laluan utama ke pusat peranginan itu.

Pada 23 Oktober lalu, JKR Daerah Kinta menerima laporan kejadian tanah runtuh di Kilometer 43.4 Jalan Simpang Pulai–Blue Valley menuju ke Cameron Highlands dengan anggaran ketinggian runtuhan cerun sekitar 70 meter dan lebar sepanjang 100 meter.

Susulan kejadian itu, Pelan Pengurusan Trafik dilaksanakan serta-merta dengan penutupan satu lorong dan kawalan serta pemantauan 24 jam oleh pihak konsesi.

Bagaimanapun, sepanjang tempoh pemantauan, runtuhan cerun didapati masih aktif, menyebabkan penutupan penuh kedua-dua lorong dilaksanakan berkuat kuasa 25 Oktober bagi mengelakkan risiko kemalangan.

Sebagai langkah alternatif, laluan FT059 Jalan Tapah–Cameron Highlands dicadangkan kepada pengguna jalan raya.

Laluan Simpang Pulai–Cameron Highlands itu kemudiannya dibuka semula secara berperingkat pada 25 November selepas kerja-kerja pembaikan dan pembersihan selesai dilaksanakan.

Selain itu, pada 18 September 2021, media turut melaporkan kejadian tanah runtuh di Laluan Persekutuan FT185 Jalan Simpang Pulai–Cameron Highlands di Seksyen 43.9 yang menyebabkan laluan berkenaan ditutup sepenuhnya kepada semua aliran trafik bermula jam 9 malam pada hari sama.

Ringkasan AI

  • Kawasan persinggahan popular ke Cameron Highlands melalui Jalan Simpang Pulai tular di media sosial kerana hakisan tanah
  • Pemilik lokasi memaklumkan longkang yang rosak menyebabkan air tidak mengalir sempurna dan mengakibatkan hakisan tanah
  • Ahli Parlimen Gopeng menyeru pengusaha dan pihak berkuasa bertindak segera bagi memastikan keselamatan pengunjung
  • Jalan Simpang Pulai–Cameron Highlands pernah mengalami beberapa kejadian tanah runtuh
  • Laluan tersebut sempat ditutup dan dibuka semula secara berperingkat setelah pembaikan dan pembersihan selesai

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!