Program Kampung Angkat Madani selesaikan isu infrastruktur Bukit Changgang

KUALA LANGAT - Sebanyak RM1 juta diperuntukkan bagi melaksanakan pembangunan Kampung Bukit Changgang di bawah Program Kampung Angkat Madani, sekali gus meningkatkan kemudahan asas dan fasiliti demi kesejahteraan penduduk setempat.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, setakat ini 10 projek sudah berjaya disiapkan dan memberi impak positif kepada komuniti kampung berkenaan.
Menurutnya, antara projek dilaksanakan termasuk menaik taraf gelanggang futsal serta tempat pembuangan sampah komuniti.
"Selain itu, peruntukan turut melibatkan pembinaan pusat komuniti dan bomba komuniti, naik taraf jalan keluar masuk dewan serta pemasangan 50 unit lampu solar LED.
"Projek Kampung Angkat di Kampung Bukit Changgang ini telah menyelesaikan masalah jangka masa panjang dan pendek seperti kemudahan dewan orang ramai serta pembangunan bomba komuniti," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Kampung Angkat Madani Kampung Bukit Changgang JBPM di sini pada Rabu.

Nor Hisham berkata, keseluruhan projek yang dilaksanakan memberi manfaat kepada semua lapisan penduduk kampung.
Jelasnya, bagi isu pengurusan sampah, perkara berkenaan telah dibincangkan dengan pihak majlis daerah sebelum proses naik taraf dibuat.
"Bomba komuniti sedia ada telah ditubuhkan pada 2023...dan hari ini dengan program sebegini kita raikan sukarelawan dengan kemudahan yang lebih baik," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Kampung Bukit Changgang, Mohd Alias Hamdi mengucapkan terima kasih kepada JBPM di atas projek menyeluruh kepada penduduk setempat.
"Alhamdulillah, semua projek berjaya dilaksanakan dengan lancar," ujarnya.
Program Kampung Angkat Madani merupakan pendekatan 'whole of government' yang menyentuh denyut nadi rakyat bagi melengkapi keperluan asas infrastruktur setiap kampung terpilih.
Ringkasan AI
- RM1 juta diperuntukkan untuk pembangunan Kampung Bukit Changgang melalui Program Kampung Angkat Madani
- 10 projek telah disiapkan memberi impak positif kepada komuniti termasuk menaik taraf gelanggang futsal dan tempat pembuangan sampah
- Peruntukan juga untuk pembinaan pusat komuniti, bomba komuniti, naik taraf jalan dan pemasangan lampu solar LED
- Projek telah menyelesaikan masalah kemudahan dewan dan pembangunan bomba komuniti
- Keseluruhan projek bermanfaat kepada semua lapisan penduduk kampung
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
