Mujur bomba cepat bertindak

Dari kanan, Zainal dan Roslee menerangkan kejadian kebakaran kepada anggota forensik bomba.
Dari kanan, Zainal dan Roslee menerangkan kejadian kebakaran kepada anggota forensik bomba.
A
A
A

PONTIAN - “Mujur bomba sampai cepat, kalau tidak habis lima rumah kayu di sini terbakar,” kata nelayan Roslee Abdullah, 45, penghuni rumah kayu yang terbakar di Jalan Terminal Bas Lama Pontian, di sini, malam tadi.

Roslee memberitahu ketika kejadian kira-kira jam 8.15 malam itu, dia bersama rakannya Zainal Abd Rahman, 45 sedang berbual di luar rumah sebelum dikejutkan dengan api yang marak secara tiba-tiba dari belakang rumah.

“Saya masuk ke dalam rumah untuk mengambil tong gas. Dalam fikiran saya ketika itu, kalau tong gas ada dalam rumah ketika rumah terbakar, akan berlaku letupan.

“Lepas keluar dan bawa tong gas, api semakin marak. Ramai orang yang datang melihat kebakaran yang sedang berlaku ketika itu,” katanya.

Keadaan rumah kayu dekat pasar malam yang terbakar malam tadi.
Keadaan rumah kayu dekat pasar malam yang terbakar malam tadi.

Jelasnya, kedudukan rumah yang terletak bersebelahan tapak pasar malam, menyebabkan orang ramai berpusu-pusu ke rumahnya ketika kebakaran sedang berlaku.

Roslee berkata, tiga buah telefon bimbit hangus terbakar, selain pakaian dan perkakasan rumah.

“Rumah di sini cuma tempat persinggahan sementara saya dan rakan-rakan sebelum kami turun ke laut. Saya tinggal di Kampung Permas, jadi bila hendak ke laut, saya akan bermalam di sini dulu.

Artikel Berkaitan:

“Jadi tidak banyak barang di dalam rumah malah tiada bekalan elektrik,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pagi semalam.

Katanya lagi, anggota bomba yang tiba ke tempat kejadian dengan pantas dapat menyelamatkan jeti lama dan lima buah rumah kayu di situ.

Roslee menunjukkan tiga telefon bimbitnya yang hangus terbakar.
Roslee menunjukkan tiga telefon bimbitnya yang hangus terbakar.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Julia Sani, berkata seramai 13 anggota dan 2 jentera bomba dari Balai Bomba Pontian dan Balai Bomba Pontian Baru dikejarkan ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan pada kira-kira jam 8.18 malam.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian api sedang marak dan pihaknya mengambil masa kira-kira 20 minit untuk memadam dan mengawal kebakaran dari merebak.

“Tiada sebarang kecederaan dilaporkan kerana penghuni rumah berada di luar rumah ketika kebakaran berlaku.

“Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.