Dua wanita antara lima maut dipijak gajah

Kira-kira 40 ekor gajah dikesan bergerak dalam beberapa kumpulan di kawasan hutan sekitar daerah Ramgarh dan Bokaro. - Gambar hiasan
Kira-kira 40 ekor gajah dikesan bergerak dalam beberapa kumpulan di kawasan hutan sekitar daerah Ramgarh dan Bokaro. - Gambar hiasan
A
A
A

RANCHI – Lima individu termasuk dua wanita maut selepas dipijak gajah dalam kejadian berasingan dalam tempoh 24 jam di Jharkhand, India, lapor Press Trust of India (PTI).

Kejadian antara 16 hingga 17 Disember itu menyebabkan tiga mangsa terbunuh di kawasan hutan Sirka di daerah Ramgarh, manakala dua lagi kematian dilaporkan di lokasi berasingan berhampiran Ranchi.

PTI memetik pegawai Jabatan Hutan sebagai berkata, salah seorang mangsa, seorang lelaki berusia 32 tahun, maut pada petang Selasa selepas dipercayai mendekati sekumpulan gajah untuk merakam video dan mengambil swafoto, sebelum diserang dan dipijak sehingga mati di tempat kejadian.

Dalam kejadian lain, dua wanita dilaporkan maut selepas dipijak gajah ketika haiwan berkenaan memasuki kawasan berhampiran penempatan penduduk, mencetuskan keadaan panik apabila penduduk cuba menyelamatkan diri.

“Seorang lagi mangsa diserang ketika menaiki motosikal selepas terserempak dengan kumpulan gajah yang tiba-tiba muncul,” menurut laporan PTI.

Mangsa kelima pula dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital, selepas mengalami kecederaan parah akibat serangan gajah tersebut.

Pihak berkuasa memaklumkan, kira-kira 40 ekor gajah kini dikesan bergerak dalam beberapa kumpulan di kawasan hutan sekitar daerah Ramgarh dan Bokaro.

Sehubungan itu, pasukan Jabatan Hutan dan polis telah dikerahkan bagi memantau pergerakan haiwan berkenaan serta mengawal keadaan di kawasan terjejas.

PTI melaporkan, penduduk setempat dinasihatkan supaya tidak menghampiri gajah dan mengelakkan pergerakan di kawasan hutan, khususnya pada waktu malam bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Lima individu termasuk dua wanita maut selepas dipijak gajah dalam kejadian berasingan dalam tempoh 24 jam di Jharkhand, India
  • Tiga mangsa terbunuh di kawasan hutan Sirka di daerah Ramgarh, manakala dua lagi kematian berlaku di lokasi berasingan berhampiran Ranchi
  • Seorang lelaki berusia 32 tahun maut diserang gajah ketika cuba merakam video dan mengambil swafoto
  • Dua wanita maut selepas dipijak gajah ketika haiwan tersebut memasuki kawasan berhampiran penempatan penduduk
  • Penduduk dinasihatkan untuk tidak menghampiri gajah dan mengelakkan pergerakan di kawasan hutan, khususnya pada waktu malam

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!