Pendidikan mengekang homoseksual

Pengalaman menangani pelbagai isu sosial menunjukkan bahawa penguatkuasaan semata-mata jarang berkesan jika tidak disertai oleh usaha pendidikan yang sistematik dan berterusan. Gambar kecil: Wan Fatimah Solihah
Pengalaman menangani pelbagai isu sosial menunjukkan bahawa penguatkuasaan semata-mata jarang berkesan jika tidak disertai oleh usaha pendidikan yang sistematik dan berterusan. Gambar kecil: Wan Fatimah Solihah
A
A
A

ISU homoseksual kembali menjadi perbincangan awam susulan beberapa penangkapan dan reaksi masyarakat kebelakangan ini, sekali gus mencetuskan perbahasan mengenai kelompangan dan kelonggaran undang-undang sedia ada di Malaysia.

Perbincangan sering merujuk kepada Seksyen 377A dan 377B Kanun Keseksaan yang berkaitan perbuatan liwat, Seksyen 377D yang menyentuh kelakuan tidak senonoh serta peruntukan undang-undang syariah negeri seperti kesalahan liwat, musahaqah dan perlakuan tidak bermoral di bawah enakmen jenayah syariah negeri-negeri.

Malah, terdapat juga pandangan yang mencadangkan pengukuhan peruntukan undang-undang melalui penjelasan skop, penyeragaman antara negeri atau penggubalan peruntukan tambahan bagi menangani isu ini dengan lebih berkesan.

Namun, tumpuan yang terlalu berat kepada aspek penguatkuasaan berisiko mengecilkan gambaran lebih besar iaitu keperluan mendesak terhadap usaha pencegahan.

Usaha mengekang tidak merujuk kepada tindakan represif terhadap individu. Sebaliknya, pengekangan bermaksud membina benteng nilai agar sesuatu gejala tidak berkembang atau berakar dalam kehidupan sosial.

Pengalaman menangani pelbagai isu sosial menunjukkan bahawa penguatkuasaan semata-mata jarang berkesan jika tidak disertai oleh usaha pendidikan yang sistematik dan berterusan.

Kebimbangan terhadap isu ini juga didorong implikasi kesihatan awam. Anggaran menunjukkan peningkatan komuniti gay di Malaysia daripada sekitar 173,000 orang pada tahun 2013 kepada lebih 300,000 pada tahun 2018, manakala golongan transgender turut menunjukkan peningkatan sepanjang dua dekad lalu.

Data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula melaporkan bahawa jangkitan HIV dalam kalangan lelaki yang mengadakan hubungan sejenis meningkat secara signifikan dan menyumbang kira-kira 64 peratus punca jangkitan HIV pada tahun 2024.

Statistik ini mengukuhkan keperluan kepada pendekatan pencegahan awal yang lebih tersusun dan berterusan.

Artikel Berkaitan:

Dari sudut sejarah global, perubahan norma berkaitan homoseksual tidak berlaku secara spontan. Di Barat, apa yang sering digelar sebagai 'revolusi gay' berkembang secara berperingkat sejak abad ke-20.

Peristiwa Stonewall pada tahun 1969, yang tercetus apabila golongan homoseksual menentang serbuan polis di New York yang sebelum itu diterima secara pasif, membuka lembaran baharu dalam perjuangan sosial mereka.

Pada malam 28 Jun 1969, serbuan polis ke atas Stonewall Inn, sebuah bar yang sering dikunjungi golongan homoseksual, tidak berakhir seperti kebiasaan apabila penahanan individu-individu tersebut mencetuskan kemarahan dan bantahan terbuka.

Ejekan terhadap pihak berkuasa bertukar menjadi protes dan protes tersebut berkembang menjadi rusuhan yang berlarutan selama beberapa hari.

Liputan media yang meluas menjadikan isu homoseksual perbualan nasional dan kemudiannya membentuk perubahan wacana dalam pendidikan serta bahasa media di Barat.

Pengalaman ini memperlihatkan bagaimana sesuatu peristiwa sosial mampu mengubah persepsi awam melalui proses normalisasi berperingkat.

Usaha menangani isu homoseksual dalam konteks Malaysia perlu difahami sebagai satu keperluan pencegahan awal.

Pencegahan terhadap isu homoseksual tidak boleh digalas oleh institusi sekolah semata-mata, sebaliknya perlu digerakkan secara menyeluruh melalui semua platform pendidikan termasuk keluarga, institusi keagamaan dan media.

Dalam melaksanakan pendidikan nilai, penggunaan bahasa perlu diberi perhatian serius kerana bahasa bukan sekadar alat penyampaian maklumat, tetapi mekanisme utama pembentukan makna, sikap dan hubungan sosial.

Secara keseluruhannya, usaha mengekang isu homoseksual di Malaysia menuntut pendekatan pendidikan nilai yang bersifat pencegahan awal, dilaksanakan secara menyeluruh merentas semua ekosistem pendidikan dan disampaikan melalui bahasa yang mendidik.

*Dr Wan Fatimah Solihah Wan Abdul Halim ialah Pensyarah Kanan, Bahasa dan Komunikasi Universiti Utara Malaysia (Kampus Kuala Lumpur)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!