Polis tambah sekatan jalan raya di KL

Mazlan meninjau sekatan jalan raya di Persiaran Utara arah Hospital Serdang, dekat sini, semalam.
Mazlan meninjau sekatan jalan raya di Persiaran Utara arah Hospital Serdang, dekat sini, semalam.
A
A
A

PUTRAJAYA – Polis Kuala Lumpur menambah empat sekatan jalan raya di sekitar Dang Wangi dan Brickfields dalam usaha memantapkan lagi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan wabak Covid-19.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, penambahan itu sekali gus menjadikan jumlah sekatan jalan raya di ibu negara kepada 56 sekatan jalan raya.

“Kita tidak mahu melihat orang bergerak bebas tanpa alasan munasabah, sebaliknya mereka harus duduk di rumah.

“Kita tidak kisah dia daripada parti mana, organisasi apa atau Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) mana pun, mereka perlu menghadkan pergerakan dan ia arahan kerajaan yang perlu dipatuhi,” katanya ketika meninjau sekatan jalan raya di Persiaran Utara arah Hospital Serdang dekat sini semalam.

Mazlan berkata, seramai 43 individu termasuk 19 warga asing berusia 20 hingga 65 tahun ditahan kerana mengingkari arahan PKP sejak dilancarkan pada 18 Mac lalu.

“Daripada jumlah itu, seramai 13 individu telah dituduh manakala sembilan orang telah menerima hukuman," katanya.

Menurutnya, peratusan yang mematuhi arahan PKP ketika ini di Kuala Lumpur telah mencecah 95 peratus.

“Setakat ini tiada jalan yang ditutup kerana kita masih tahap PKP sahaja bukan PKP Diperketatkan, saya berharap orang ramai jangan salah faham,” katanya.

Artikel Berkaitan: