Tiga hari tinggal dalam kereta, MAIJ pindahkan keluarga ke penginapan sementara

JOHOR BAHRU – Sebuah keluarga yang terpaksa tinggal di dalam kereta selama tiga hari selepas keluar dari rumah sewa akhirnya dipindahkan ke penginapan sementara dengan bantuan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), pada Isnin.
Exco Hal Ehwal Agama Islam Mohd Fared Mohd Khalid berkata, makluman berhubung keadaan keluarga berkenaan diterima daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Mohd Hairi Mad Shah selepas mereka ditemui berhenti di bawah jambatan Kampung Ubi, di sini.
"Susulan itu, MAINJ Daerah Johor Bahru diarahkan untuk bertindak segera bagi menyalurkan bantuan kecemasan kepada keluarga terbabit.
"Amin Baitulmal Johor Bahru akhirnya menemui keluarga berkenaan dan memujuk mereka agar berpindah ke tempat yang lebih selamat dan selesa.
“Untuk malam ini, keluarga tersebut ditempatkan terlebih dahulu di sebuah penginapan sementara sebelum dipindahkan ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Melana 1 atau Tiram pada Selasa,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menurut Mohd Fared, penempatan itu diusahakan hasil kerjasama Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor.
Dalam perkembangan sama, Exco Wanita dan Pembangunan Masyarakat Johor, Khairin Nisa Ismail akan memantau kebajikan keluarga berkenaan, khususnya apabila salah seorang anak mereka dilaporkan sebagai orang kurang upaya (OKU) yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Sementara itu, MAINJ akan membuat semakan lanjut terhadap keperluan keluarga tersebut sebelum menyalurkan bantuan zakat yang bersesuaian.
Ringkasan AI
- Keluarag yang tinggal di dalam kereta selama tiga hari dipindahkan ke penginapan sementara dengan bantuan Majlis Agama Islam Johor
- Makluman keadaan keluarga tersebut diterima daripada ADUN Larkin selepas ditemui di bawah jambatan Kampung Ubi
- MAINJ Daerah Johor Bahru bertindak cepat menyediakan bantuan kecemasan untuk keluarga tersebut
- Keluarga tersebut akan dipindahkan ke Projek Perumahan Rakyat Melana 1 atau Tiram
- Penempatan keluarga ini dilakukan dengan kerjasama Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri serta pemantauan oleh Exco Wanita dan Pembangunan Masyarakat Johor
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

