Wujud desakan nilai semula kedudukan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan - Ahmad Maslan

Sebarang keputusan membabitkan kedudukan UMNO dalam kerajaan perlu dibuat secara berdisiplin dan mengikut saluran parti.

Ahmad Maslan berucap ketika sesi Dialog Awam Veteran UMNO Selangor pada Isnin.
Ahmad Maslan berucap ketika sesi Dialog Awam Veteran UMNO Selangor pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Wujud desakan dalam kalangan ketua-ketua UMNO bahagian seluruh negara supaya parti itu menilai semula kedudukannya dalam Kerajaan Perpaduan susulan keputusan Mahkamah Tinggi mengekalkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara di Penjara Kajang.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, kekecewaan yang dizahirkan akar umbi bukan bersifat sementara, sebaliknya berpunca daripada perkembangan kes membabitkan bekas Presiden UMNO itu.

"Saya berada dalam kumpulan ketua bahagian yang sedang berasak dan berbincang mengenai perkara ini kerana ia bukan sekadar emosi, tetapi lahir daripada kekecewaan terhadap apa yang berlaku kepada Najib," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa sesi Dialog Awam Veteran UMNO Selangor di sini pada Isnin.

Menurut beliau, sentimen tidak puas hati terhadap kedudukan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan turut jelas kelihatan menerusi maklum balas rakyat di media sosial termasuk komen terhadap kenyataan kepimpinan tertinggi parti.

"Banyak pandangan yang saya baca menunjukkan persepsi rakyat terhadap UMNO dalam kerajaan ketika ini tidak begitu baik,” katanya.

Bagaimanapun Ahmad Maslan menegaskan, sebarang keputusan membabitkan kedudukan UMNO dalam kerajaan perlu dibuat secara berdisiplin dan mengikut saluran parti.

"Saya dan ramai lagi bersedia menunggu dan mematuhi arahan kepimpinan parti, jika Presiden kata teruskan, kita teruskan, namun sebaliknya, kita ikut keputusan parti,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Maslan mengingatkan sebarang langkah politik perlu mengambil kira realiti sokongan di Parlimen.

Artikel Berkaitan:

"Angka sokongan kerajaan ketika ini masih memadai dan perkara ini perlu dinilai secara matang sebelum sebarang tindakan diambil,” tambahnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, tumpuan UMNO tidak harus teralih daripada usaha memperkukuh sokongan akar umbi melalui gerak kerja berterusan di kawasan.

"Untuk menang pilihan raya, aktiviti berterusan dan kehadiran pemimpin bersama rakyat adalah kunci utama," katanya.

Mahkamah Tinggi pada Isnin menolak permohonan semakan kehakiman Najib bagi memaksa kerajaan dan enam pihak lain melaksanakan Titah Adendum supaya beliau menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah, berkaitan kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

 

 

 

 

 

 

Ringkasan AI

  • Ketua-ketua UMNO menggesa penilaian kedudukan dalam Kerajaan Perpaduan selepas hukuman Najib Razak kekal
  • Kegagalan Najib Razak menerima respon kekecewaan dari akar umbi UMNO
  • Sentimen tidak puas hati terhadap UMNO dalam Kerajaan Perpaduan diperkuat maklum balas di media sosial
  • Keputusan mengenai kedudukan UMNO harus mengikut saluran dan disiplin parti
  • Tindakan politik harus mempertimbangkan realiti sokongan di Parlimen

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!