Daesh jadi kambing hitam ekstremis Barat

KUMPULAN Daesh sering digambarkan sebagai simbol keganasan paling ekstrem dalam dunia moden.
Media Barat berulang kali mengaitkan kumpulan itu dengan pembunuhan kejam, pengeboman rambang dan pelanggaran hak asasi manusia secara terbuka.
Naratif global turut menekankan Daesh sebagai ancaman mutlak kepada keamanan dunia sehingga setiap insiden keganasan sering dikaitkan secara langsung atau tidak langsung dengan mereka.
Selain itu, Daesh disebut sebagai musuh bersama komuniti antarabangsa dek imej negatif yang dibina media Barat dengan menjadikannya sebagai kambing hitam untuk menggambarkan wajah utama ekstremisme.
Ia sedikit sebanyak memperkukuh sentimen Islamofobia dan stereotaip terhadap komuniti Muslim.
Dalam wacana politik antarabangsa pula, Daesh sering dijadikan alat justifikasi untuk campur tangan ketenteraan, pelaksanaan dasar keselamatan ketat dan pengawasan melampau.

Segala keganasan yang berlaku cenderung dikaitkan dengan Daesh walaupun bukti masih samar-samar.
Sejak kebelakangan ini, kebangkitan puak pelampau sayap kanan semakin menonjol di beberapa negara Barat.
Tetapi, liputan dan reaksi global terhadap ancaman kumpulan itu seperti menidakkan kewujudan mereka walaupun ia juga menyumbang kepada ketidakstabilan sosial dan politik.
Puak sayap kanan bagaimanapun tidak digelar ‘pengganas’ seperti yang sewenang-wenangnya dilemparkan terhadap orang Islam.
Hal ini bukan sahaja mencemarkan imej Muslim malah cuba mengubah persepsi umum sedangkan ekstremisme merupakan fenomena sejagat yang boleh muncul dalam apa jua ideologi.
Naratif berat sebelah
Barat sekali lagi menuding jari untuk menyalahkan Daesh setiap kali berlaku insiden keganasan atau yang mengancam keselamatan seperti yang menggemparkan Australia, baru-baru ini.
Nama Daesh kembali dijadikan simbol ekstremisme global selepas hampir tujuh tahun kejatuhannya sedangkan gelombang kewujudan kumpulan radikal sayap kanan di negara Barat semakin membimbangkan dan turut menjadi ancaman utama kepada dunia.
Fahaman ultranasionalis, supremasi kaum dan kebencian berdasarkan identiti agama atau etnik kian meningkat malah ada yang berakhir dengan serangan ganas terhadap orang awam.
Liputan media terhadap keganasan yang dilakukan oleh ‘pengganas bukan Islam’ sering disembunyikan atau dipaparkan sebagai kes terpencil, seolah-olah mereka dilindungi.
Sebaliknya, setiap tindakan yang dikaitkan dengan Daesh sengaja dibesar-besarkan, sekali gus menjadikan kumpulan tersebut sebagai kambing hitam.
Naratif berat sebelah ini memutarbelit persepsi dan menimbulkan stigma terhadap satu komuniti.
Tanggapan seperti itu secara tidak langsung menyemai sentimen Islamofobia dan mencetuskan salah faham sedangkan umat Islam di seluruh dunia menolak keganasan dan fahaman ekstrem secara mutlak.
Menurut pakar keselamatan, gerakan pelampau sayap kanan kini semakin terancang, merentas sempadan dan giat merekrut melalui platform digital.
Ia dilihat seiring dengan strategi serupa yang pernah dilaporkan media Barat dalam liputan berkaitan Daesh.
Namun, faktor politik dan sensitiviti domestik sering menghalang ancaman sayap kanan tersebut daripada ditangani dengan ketegasan setara kumpulan militan lain.
Selagi usaha membanteras ekstremisme hanya memfokuskan satu ideologi yang dikaitkan dengan Islam, ancaman pelampau dalam pelbagai wajah akan terus wujud dan komuniti Muslim pula berterusan menjadi mangsa stigma.
Propaganda Daesh yang dipaparkan rangkaian media Barat turut dilihat sebagai cubaan untuk memburukkan Islam di mata dunia.
Sedari awal, fahaman Daesh sememangnya ditolak secara jelas oleh pemimpin dan ulama Islam arus perdana kerana ia menyimpang jauh daripada prinsip keamanan, keadilan dan kemanusiaan.
Daesh 'ciptaan’ AS?
Sejak kebangkitan Daesh pada 2013–2014, pelbagai teori dan dakwaan muncul mengenai asal usul kumpulan tersebut.
Antara yang paling kontroversi dan disebarkan pentaasub teori konspirasi secara meluas ialah Daesh sebenarnya ‘ciptaan’ Amerika Syarikat (AS) untuk menghuru-harakan keamanan.
Tuduhan itu timbul disebabkan campur tangan Washington di rantau Asia Barat yang secara tidak langsung menyumbang kepada kemunculan gerakan tersebut.
Menerusi ucapan pada Ogos 2016, Presiden Donald Trump dengan lantang menuduh Presiden ke-44 AS, Barack Obama sebagai ‘pengasas’ Daesh manakala pesaingnya pada Pilihan Raya Presiden ketika itu, Hillary Clinton sebagai ‘pengasas bersama’ kumpulan berkenaan.
Terdapat juga dakwaan Clinton mengakui AS sebagai ‘pencipta’ Daesh menerusi bukunya berjudul Hard Choice seperti dilaporkan BBC pada 2014.
Tangkapan skrin layar memaparkan petikan buku tersebut yang pernah tersebar di platform media sosial Lubnan mendakwa Washington ‘mencipta’ Daesh untuk menggugat kestabilan di rantau Asia Barat demi keuntungan AS.
Kedutaan AS di Beirut pada ketika itu yang tidak senang duduk dengan pendedahan tersebut bagaimanapun mendakwa ia sebagai tuduhan palsu dan tidak berasas.
Pada Jun 2013, Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei secara terbuka mendakwa Washington sebagai ‘pencipta’ Daesh dalam konteks propaganda geopolitik malah beliau menyelar pakatan diketuai AS untuk memerangi kumpulan tersebut hanya wayang semata-mata.
Kenyataan itu dibuat selepas pegawai kanan di Teheran mendedahkan mereka mempunyai dokumen dan maklumat yang membuktikan Washington menyokong gerakan tersebut.
Pada April 2023, jurucakap Kementerian Luar Iran juga melabel AS sebagai godfather Daesh.
Ia berdasarkan dakwaan kontroversi Robert F Kennedy yang mengakui ‘kami mencipta Daesh’ ketika mengkritik dasar luar dan penggunaan kuasa ketenteraan di seluruh dunia.
Beberapa artikel yang disiarkan oleh rangkaian media turut mengaitkan penglibatan Agensi Perisikan Pusat (CIA) serta beberapa pihak lain dalam projek 'mencipta' Daesh, serupa dengan dakwaan sebelum ini mengenai peranan Washington dalam penubuhan al-Qaeda yang dinafikan sekeras-kerasnya oleh pemimpin AS.
Selain itu, catatan di beberapa blog akademik menunjukkan dasar politik AS di Iraq dan Syria mungkin membuka jalan kepada kebangkitan Daesh, namun seolah-olah menyembunyikan' bukti Washington membentuk kumpulan itu secara langsung.
Info
>Daesh diasaskan pada 2004 dan mengisytiharkan pemerintahan khalifah pimpinan Abu Bakr al-Baghdadi pada 2014 selepas menguasai bahagian utara dan barat Iraq. Barat cuba memburukkan imejnya untuk mewujudkan perpecahan antara puak sunni dan syiah.
>Ketika era ‘kegemilangannya’, kumpulan itu mempunyai kira-kira 80,000 anggota termasuk 42,000 pengikut dari lebih 120 negara.
>Data rasmi sehingga pertengahan 2025 menganggarkan gerakan itu kini dianggotai kira-kira 1,500 hingga 3,000 pengikut yang aktif beroperasi di Syria dan Iraq.
>Sejak kejatuhan ‘kerajaan khalifah’ yang diisytiharkan sendiri pada 2019, kira-kira 60,000 anggota mereka telah mengalami perubahan struktur.
>Sehingga Jun lalu, identiti sebenar ‘khalifah kelima’ Daesh, Abu Hafs al-Hashimi al-Qurashi yang dilantik pada Ogos 2023 masih tidak diketahui.
>Ia mencerminkan perubahan Daesh ke arah struktur yang lebih fleksibel dan tidak berpusat.
Ringkasan AI
- Kumpulan Daesh sering digambarkan sebagai simbol keganasan ekstrem dan dikaitkan dengan pelbagai tindakan teror oleh media Barat
- Daesh dijadikan alat justifikasi untuk campur tangan ketenteraan dan pelaksanaan dasar keselamatan ketat di panggung antarabangsa
- Keberhasilan naratif ini memperkuatkan Islamofobia dan stereotaip negatif terhadap komuniti Muslim
- Wujud ketidakseimbangan dalam liputan media terhadap tindakan keganasan, di mana puak pelampau sayap kanan kurang dikritik
- Dakwaan Daesh sebagai 'ciptaan' Amerika Syarikat timbul dari intervensi Washington di Asia Barat, menambah kontroversi tentang asal-usulnya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

