Tentera beri makan haiwan ditinggalkan pemilik di sempadan Thailand-Kemboja

SAKEO – Anggota Pasukan Petugas Burapa dikerahkan bagi memberi makan kepada haiwan yang ditinggalkan penduduk susulan pemindahan sementara akibat pertempuran berterusan di sepanjang sempadan Thailand–Kemboja, pada Khamis.
Memetik laporan Thethaiger.com, operasi unit berkenaan dilaksanakan oleh Pasukan Petugas Khas Ta Phraya dengan tumpuan kepada bantuan kemanusiaan termasuk membekalkan makanan serta memeriksa keadaan haiwan yang ditinggalkan setelah penduduk dipindahkan dari kawasan berisiko tinggi.
Tindakan itu selaras dengan dasar bantuan awam pihak tentera yang bertujuan mengurangkan kesukaran serta memberi ketenangan kepada komuniti terjejas akibat isu keselamatan.
Media tempatan melaporkan ramai penduduk terpaksa meninggalkan rumah, ternakan dan haiwan peliharaan mereka ketika pemindahan dijalankan, sekali gus mendorong usaha terancang bagi memastikan haiwan berkenaan tidak diabaikan sepanjang ketiadaan pemilik.

Anggota tentera telah mengunjungi beberapa kampung bagi memeriksa keadaan serta menghantar bekalan makanan dan air kepada pelbagai jenis haiwan termasuk lembu, kerbau, khinzir, anjing dan haiwan domestik lain.
Pasukan Petugas Burapa memaklumkan bahawa anggota mereka akan terus memantau serta menjaga haiwan-haiwan tersebut selagi diperlukan.
Dalam pada itu, pasukan berkenaan menegaskan komitmen mereka terhadap kebajikan penduduk tempatan dan haiwan peliharaan, selain mengekalkan kehadiran keselamatan di kawasan tersebut sehingga keadaan kembali stabil dan penduduk dapat pulang ke rumah dengan selamat.
Terdahulu tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan tindakan dua anggota polis peronda sempadan memberi makan kepada anjing yang ditinggalkan di sebuah rumah di Sa Kaeo ketika pemindahan baru-baru ini.
Dalam rakaman itu, salah seorang anggota polis dilihat bercakap ke arah kamera sambil berkata beliau memberi makanan kepada anjing berkenaan sebelum memberi tabik hormat dan beredar menaiki motosikal.
Pemilik anjing terbabit berkata, dia tidak menjangkakan perkara itu memandangkan rumahnya terletak di kawasan terpencil.
Ringkasan AI
- Anggota Pasukan Petugas Burapa dikerahkan memberi makan kepada haiwan ditinggalkan penduduk akibat pertempuran di sempadan Thailand-Kemboja
- Operasi fokus kepada bantuan kemanusiaan termasuk bekalan makanan dan pemeriksaan keadaan haiwan terjejas
- Dasar bantuan ini mengurangkan kesukaran dan memberi ketenangan kepada komuniti terjejas isu keselamatan
- Penduduk terpaksa meninggalkan rumah dan haiwan peliharaan semasa pemindahan, tindakan ini pastikan haiwan tidak diabaikan
- Pasukan Petugas Burapa akan memantau dan menjaga haiwan terjejas selagi diperlukan, menegaskan komitmen terhadap kebajikan penduduk dan haiwan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
