Ramlee kumpul 10,000 setem

KUANTAN – Dalam dunia yang semakin pantas bergerak ke arah digital, hobi mengumpul setem mungkin dianggap ketinggalan zaman.
Namun bagi segelintir peminat setia, kepingan kecil bergam ini masih menyimpan cerita besar tentang sejarah, budaya dan identiti sebuah negara.
Bagi Ramlee Abd Wahab, 57, dari Kampung Chenggal Lempong di sini, setem bukan sekadar hiasan pada sampul surat, sebaliknya berfungsi sebagai perakam perjalanan bangsa dan warisan negara.
Penyelia kilang di Gebeng itu kekal setia dengan hobi klasik yang diceburinya sejak era 1970-an, meskipun dunia komunikasi kini berada di hujung jari.

Minat mendalam dan keseronokan terhadap hobi itu turut mendorong Ramlee bersama peminat setem lain di daerah ini menubuhkan Kelab Sahabat Setem Kuantan (KSSK) pada Februari 2018.
Melalui kumpulan WhatsApp tersebut, beliau berjaya menghimpunkan 49 ahli aktif dari Kuantan serta beberapa negeri lain.
Sehingga kini, Ramlee memiliki 25 album koleksi peribadi yang memuatkan lebih 10,000 keping setem dari dalam dan luar negara.
Namun di sebalik perjalanan panjang hobinya itu, beliau mengakui bukan seorang pemburu setem fanatik atau obses terhadap koleksi rare atau edisi terhad bernilai tinggi.
“Saya tidak pernah keluarkan belanja besar semata-mata untuk mendapatkan setem istimewa, sebaliknya ia dikumpulkan berdasarkan kemampuan dan sekadar hobi.
“Secara peribadi, saya lebih suka kumpul setem keluaran khas yang dikeluarkan Pos Malaysia dengan tema tertentu, misalnya Edisi 50 Tahun Malaysia, pertabalan Yang di-Pertuan Agong dan setem terpakai yang menarik sebagai koleksi,” katanya ketika ditemui Sinar Ahad.

Menurut Ramlee, kepuasan sebenar apabila berjaya melengkapkan koleksi setem edisi khas yang terlepas atau di luar tempoh pelancarannya.
“Lebih seronok bila ada cabaran untuk mencarinya. Ibaratnya mencari setem di luar musim lebih mencabar dan ada tantangan.
“Puas hati bila dapat dan koleksi yang ada berjaya dilengkapkan,” katanya yang sering mencari setem terpakai di kedai barangan antik, dalam talian serta melalui pertukaran dengan rakan kelab.
Ramlee turut berkongsi kenangan manis apabila minat terhadap setem membuka ruang jaringan persahabatan, termasuk menerima bantuan daripada majikan warga Jepun dikenali sebagai Mr Hasegawa.
“Dia (Mr Hasegawa) awalnya tanya kenapa saya suka setem. Jadi, saya terangkan secara ringkas tentang minat ini.
“Di luar jangkaan, tanpa pengetahuan saya, dia terus hubungi kawannya di Jepun untuk mencari setem terpakai dari negara matahari terbit itu.
“Sebulan kemudian, kawannya datang ke Malaysia membawa bersama satu bundle mengandungi kira-kira 1,000 keping setem terpakai dari Jepun,” ujarnya.

Katanya, sebahagian besar koleksi itu masih disimpan, manakala sebahagian lagi dibahagikan kepada adik-beradik yang turut meminati setem.
Selain itu, beliau juga menerima bantuan rakan-rakan untuk mendapatkan setem daripada surat-surat yang diterima.
“Ada kenalan bergelar Datuk yang memiliki pengetahuan tinggi tentang setem sering membantu membelikan setem menarik ketika berada di luar negara. Dia juga banyak dan selalu berkongsi maklumat setem dalam kumpulan WhatsApp,” katanya.
Walaupun KSSK diwujudkan secara tidak rasmi, usaha mereka telah menarik perhatian pihak luar termasuk Pos Malaysia.
Kelab berkenaan pernah dijemput mengadakan pameran sempena Sambutan Hari Pos Sedunia Peringkat Negeri, selain menyertai pameran dan sesi stamp talk di beberapa sekolah di daerah ini.
“Aktiviti kelab bagaimanapun mula perlahan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun ahli yang ada terus aktif berkongsi maklumat melalui WhatsApp.
“Matlamat kami di KSSK adalah untuk memperkenalkan dan mempromosikan keseronokan hobi mengumpul setem ini, terutama kepada generasi muda khususnya pelajar sekolah,” katanya.
Ringkasan AI
- Hobi mengumpul setem masih dianggap bernilai untuk mempelajari sejarah, budaya dan identiti negara
- Ramlee Abd Wahab telah mengumpul setem sejak era 1970-an dan memiliki lebih dari 10,000 keping setem
- Kelab Sahabat Setem Kuantan ditubuhkan untuk mengumpulkan peminat setem di daerah Kuantan dan negeri lain
- Koleksi setem Ramlee termasuk edisi khas yang dikeluarkan Pos Malaysia dan setem terpakai yang menarik
- Aktiviti Kelab Sahabat Setem Kuantan menarik perhatian pihak luar termasuk Pos Malaysia dan telah mengadakan pameran sempena Sambutan Hari Pos Sedunia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

