StarCruises raikan pesakit, keluarga RMHC Malaysia di atas kapal Star Voyager

A
A
A

PERSATUAN Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia) dengan kerjasama syarikat pelayaran terkemuka, StarCruises menyantuni hampir 200 keluarga dan pesakit kanak-kanak di atas kapal persiaran Star Voyager, sebuah acara ‘port-stay’ istimewa selama empat jam.

Pesakit dan ahli keluarga terlibat merupakan penerima manfaat Rumah Ronald McDonald (RMH) iaitu rumah kedua atau ‘home away from home’ bagi mereka yang menemani anak-anak mendapatkan rawatan di Hospital Tunku Azizah (HTA) Kuala Lumpur, terutamanya penghidap jantung sejak bayi.

Pesakit dan ahli keluarga berpeluang meronda sekeliling kapal persiaran mewah itu.
Pesakit dan ahli keluarga berpeluang meronda sekeliling kapal persiaran mewah itu.

Pengurus Besar RMHC Malaysia, Mohd Nasri Mohd Nordin berkata, penganjuran acara tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebegini cukup bermakna buat pesakit serta ahli keluarga yang majoritinya pertama kali menaiki kapal persiaran dan ingin merasai suasana baharu demi kesejahteraan mental masing-masing.

Baginya, ia sedikit sebanyak memberikan keceriaan pada wajah keluarga RMHC Malaysia kerana selama ini berada dalam situasi hospital yang umum mengetahui cukup meresahkan.

Sesi lawatan tempat dan fasiliti menarik di atas kapal Star Voyager bersama keluarga dan staf RMHC Malaysia yang dikendalikan oleh anak kapal.
Sesi lawatan tempat dan fasiliti menarik di atas kapal Star Voyager bersama keluarga dan staf RMHC Malaysia yang dikendalikan oleh anak kapal.

“Semua akui sangat gembira menaiki kapal pelayaran ini yang menyajikan pelbagai aktiviti menarik antaranya persembahan silap mata dan tarian, cabutan bertuah, kemudian kami dihidangkan dengan bufet mewah halal di 'The Lido' serta berpeluang meronda sekeliling kapal.

Artikel Berkaitan:

“Justeru, kami berterima kasih kepada StarCruises atas kesudian mempelawa kami menaiki Star Voyager. Diharapkan kolaborasi seperti ini dapat dicontohi syarikat lain untuk menyokong keluarga menghadapi cabaran menemani anak-anak yang menjalani rawatan di hospital dalam jangka waktu panjang.

“Pengalaman seperti ini memberi peluang kepada keluarga untuk keluar buat sementara waktu daripada suasana hospital yang tertekan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di atas kapal persiaran mewah itu pada Jumaat.

Keluarga daripada RMHC Malaysia Hospital Tunku Azizah (HTA) bersama anak kapal StarCruises meraikan pengalaman sehari penuh keceriaan di atas kapal persiaran Star Voyager di Pelabuhan Klang. Foto RMHC Malaysia

Acara khas tersebut menyatukan keluarga, kru dan tetamu istimewa dengan pengalaman ceria, termasuk kemunculan maskot StarCruises dan McDonald’s serta persembahan akrobatik, seni belon, pertunjukan silap mata dan tarian mesra keluarga oleh pasukan Star Voyager.

Pertunjukan silap mata yang cukup mengagumkan buat pesakit kanak-kanak dan ahli keluarga dari RMHC Malaysia.
Pertunjukan silap mata yang cukup mengagumkan buat pesakit kanak-kanak dan ahli keluarga dari RMHC Malaysia.

Menambah keceriaan acara itu, StarCruises turut menghadiahkan pakej pelayaran percuma buat tiga keluarga penerima manfaat RMH terpilih agar mereka dapat menikmati percutian di atas kapal persiaran Star Voyager dan Genting Dream di bawah Dream Cruises, berlepas dari Pelabuhan Klang.

Tiga keluarga bertuah memenangi tiket percutian menaiki kapal pelayaran tiga hari dua malam untuk empat orang yang disampaikan oleh Michael (dua dari kiri), Nasri (tiga dari kiri) dan Kapten Kapal StarCruise, Erik Dahlberg (dua dari kanan). Foto RMHC Malaysia

Bukan itu sahaja, ia menandakan pelayaran pertama Star Voyager bagi musim 2025/2026 dari Pelabuhan Klang bermula 19 Disember 2025 hingga 2 Februari 2026, dengan destinasi termasuk Phuket, Singapura dan Bintan.

Lawatan atas kapal itu turut mencerminkan komitmen berterusan StarCruises dalam menyokong dan berinteraksi dengan komuniti tempatan.

Sebagai sebahagian daripada program CSR di bawah tema ‘Membawa Harapan dan Kegembiraan di Atas Kapal dan Setiap Destinasi’, inisiatif terbabit menekankan dedikasi syarikat dalam mewujudkan kerjasama penuh bermakna di pelbagai pelabuhan serta destinasi di rantau Asia.

Pertukaran memento istimewa antara StarCruises dan RMHC Malaysia. Dari kiri: maskot StarCruises, Pin Pin; Presiden StarDream Cruises, Michael Goh; Pengurus Besar RMHC Malaysia, Nasri Md Nordin; Pengarah Hotel Star Voyager, Mithun Shetty dan maskot McDonald’s, Hamburglar. Foto RMHC Malaysia

Mengulas mengenai perkara itu, Presiden StarDream Cruises, Michael Goh memaklumkan, pendekatan seperti CSR menyantuni komuniti menjadi asas kepercayaan pihaknya selama ini, membuatkan beliau tertarik untuk mengadakan kolaborasi dengan RMHC Malaysia selain berpeluang mempromosikan pakej percutian musim baharu.

Menurut beliau, jenama RMHC bukan sahaja berjaya di Malaysia, bahkan di rantau Asia lain seperti Singapura, Hong Kong, Taiwan dan lain-lain yang mana dalam masa sama menjadi destinasi kapal persiaran itu.

Keluarga dan pihak RMHC bersuka ria dengan aktiviti interaktif di atas kapal persiaran Star Voyager.
Keluarga dan pihak RMHC bersuka ria dengan aktiviti interaktif di atas kapal persiaran Star Voyager.

“Bagi pihak StarCruises, kami amat gembira dapat menyambut kanak-kanak dan keluarga RMHC Malaysia di atas kapal persiaran Star Voyager. Saya dapat lihat riak wajah semua orang sangat gembira dan saya juga senang hati melihatnya.

“Peluang ini amat bermakna kerana kami dapat berkongsi senyuman dan kami berharap pengalaman sedemikian meninggalkan kenangan indah kepada semua yang terlibat.

“Kami janji ia satu momen yang bakal dikenang sampai bila-bila dan berharap mereka kembali menaiki kapal ini lagi kerana apa yang dipamerkan dalam empat jam hanya sebahagian kecil, banyak aktiviti menarik boleh dinikmati di Star Voyager,” ujar beliau.

Ringkasan AI

  • Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia) berkolaborasi dengan StarCruises menyantuni hampir 200 keluarga dan pesakit kanak-kanak di atas kapal persiaran Star Voyager dalam acara 'port-stay' istimewa
  • Penerima manfaat adalah pesakit dan keluarga dari Rumah Ronald McDonald yang menemani anak-anak mendapatkan rawatan di Hospital Tunku Azizah Kuala Lumpur, terutamanya penghidap jantung sejak bayi
  • Acara ini diadakan sebagai usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk memberikan keceriaan dan kesejahteraan mental kepada keluarga yang secara umumnya berada dalam suasana hospital yang meresahkan
  • Terlibat dalam pelbagai aktiviti menarik dan diberikan pengalaman untuk berkeliling kapal, kegiatan ini bertujuan untuk memberikan peluang kepada keluarga melupakan sejenak kehidupan di hospital
  • StarCruises juga menghadiahkan pakej pelayaran percuma kepada tiga keluarga terpilih sebagai sebahagian dari komitmen mereka dalam menyokong dan berinteraksi dengan komuniti, sekaligus menunjukkan dedikasi dalam mewujudkan kerjasama bermakna

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!