Telaga Tujuh Puteri ‘khazanah senyap’ Kelantan

Pengunjung berada di kawasan lima lagi Telaga Tujuh Puteri. Kedudukan lima telaga yang tidak berada
di aliran sungai.(Gambar kanan)
Pengunjung berada di kawasan lima lagi Telaga Tujuh Puteri. Kedudukan lima telaga yang tidak berada di aliran sungai.(Gambar kanan)
A
A
A

KUALA KRAI - Jauh di pedalaman Dabong tersimpan sebuah lokasi sentiasa menjadi buah mulut pendaki yang pernah menjejakkan kaki ke Gunung Stong.

Telaga Tujuh Puteri, tujuh lekukan batu semula jadi yang membentuk kolam-kolam kecil dianggap ‘khazanah senyap’ Kelantan, memukau dengan keindahan yang tidak terusik sejak lebih empat dekad lalu.

Terletak kira-kira 10 minit dari Kem Baha, kawasan ini menjadi persinggahan wajib untuk mandi-manda selepas pendakian.

Kawasan riadah yang mampu mengembalikan tenaga selepas mendaki.
Kawasan riadah yang mampu mengembalikan tenaga selepas mendaki.

Suasananya yang dikelilingi batu granit besar dan aliran air yang menenangkan menjadikan ruang ini seolah-olah sebuah sudut semula jadi yang tertutup dari dunia luar.

Bagi pengunjung, Nur Natasya Amira Che Mat Zaid, 25, Telaga Tujuh Puteri bukan sekadar lokasi persinggahan, tetapi menjadi tempat yang sentiasa memberikan pengalaman berbeza setiap kali dikunjungi terutama ketika masuk ke dalam telaga sedalam kira-kira semeter itu.

Kunjungan pertamanya pada 27 September 2023 bermula ketika mendaki Gunung Baha, Ayam dan Stong tanpa mengetahui langsung kewujudan telaga itu sebelum menemuinya sendiri.

“Pertama kali saya sampai, rasa terpegun, suasana sangat tenang dan penat mendaki terus hilang.

Artikel Berkaitan:

“Apabila masuk ke dalam telaga yang muat-muat seorang untuk mandi, sangat segar,” katanya yang mengetahui tentang telaga itu selepas ia kerap muncul dalam paparan cadangan (FYP) TikTok.

Kawasan berlubang adalah salah satu telaga yang ada di Telaga Tujuh Puteri.
Kawasan berlubang adalah salah satu telaga yang ada di Telaga Tujuh Puteri.

Menurutnya, air telaga yang sangat jernih sehingga menampakkan batu dasar menjadi tarikan utama selain bunyi yang menenangkan.

Suasana itu membuatkan mandi-manda di kawasan berkenaan menjadi satu pengalaman yang sukar didapati di tempat lain.

Berkongsi mengenai perjalanan, dia melalui trek ke Kem Baha sebagai pendaki pertama kali dengan anggaran dua jam pendakian, namun diingatkan berhati-hati terutama selepas hujan kerana batu di sekitar telaga mudah menjadi licin.

“Wajib pakai kasut yang sesuai sebab batu boleh jadi licin.

“Paling penting, jaga adab bila masuk hutan, jangan buang sampah, jangan rosakkan apa-apa,” tegasnya.

Saiz, kedalaman berbeza

Penduduk, Nik Ali Nik Muhammad, 34, berkata, tujuh kolam ini terbentuk secara alami hasil hakisan air sejak ratusan tahun dahulu.

Setiap telaga mempunyai saiz dan kedalaman berbeza dan hanya dua daripadanya biasa dimasuki pengunjung.

Nik Ali (kiri) sedang masuk untuk mandi dalam telaga.
Nik Ali (kiri) sedang masuk untuk mandi dalam telaga.

“Setiap telaga berbeza bentuk, ada yang kecil sekadar muat seorang, ada yang lebih luas sedikit.

“Dua sahaja telaga yang selamat dimasuki kerana airnya tenang,” katanya.

Nik Ali berkata, risiko paling besar ialah jika cuaca tidak menentu.

“Apabila hujan, tak digalakkan masuk sebab kita tak akan tahu jika kepala air datang,” jelasnya.

Walaupun menjadi lokasi persinggahan popular pendaki sejak 1980-an, kawasan ini tidak berubah. Bentuk telaga masih sama, airnya tetap jernih dan persekitarannya kekal semula jadi.

Di sebalik keindahan fizikalnya, masyarakat tempatan turut menyimpan pesan lama yang masih diamalkan hingga kini.

Ada yang mengatakan kawasan itu ‘bertuan’, justeru pengunjung diingatkan menjaga adab.

“Orang lama pesan, jangan kencing dalam telaga,” ujar Nik Ali ringkas memberi gambaran satu pantang yang menzahirkan penghormatan terhadap alam.

Melihat perubahan ekopelancongan Dabong semakin mendapat perhatian luar, Nik Ali yang juga pemandu pelancong itu turut berharap Telaga Tujuh Puteri akan terkenal di mata pencinta alam semula jadi.

Ringkasan AI

  • Telaga Tujuh Puteri di Kuala Krai dikenali sebagai 'khazanah senyap' Kelantan dan memikat dengan keindahannya yang masih terjaga
  • Terletak 10 minit dari Kem Baha, menjadi tempat mandi selepas pendakian merentas gunung
  • Area ini dikelilingi oleh batu granit besar dan mempunyai air yang sangat jernih
  • Telaga tersebut mempunyai tujuh kolam dengan saiz dan kedalaman yang berbeza, namun hanya dua yang selamat untuk dimasuki
  • Penduduk lokal percaya kawasan itu 'bertuan' dan mengingatkan pengunjung untuk menjaga adab, termasuk tidak membuang sampah atau merosakkan apa-apa

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!