'Saya yakin itu jasad Suri, dia kenal suspek' - Rakan baik

SHAH ALAM – “Saya yakin itu jasad Suri. Suspek juga ialah orang yang dikenali oleh Suri.”
Demikian kata rakan baik mangsa, Mac Ruhayu Mohd Nor, ketika mengulas penemuan mayat seorang wanita yang ditemukan di dalam sebuah beg di belakang sebuah rumah tidak berpenghuni di Kampung Batu 4, Rembau, Negeri Sembilan pada Khamis.
Sebelum itu, satu laporan berhubung kehilangan Suri Narudin, 53, sejak 8 Disember telah dibuat di Balai Polis Ampang oleh ibu saudaranya.
Menurut Ruhayu, kakak kandung Suri telah hadir di Hospital Rembau bagi menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
“Maklumat awal daripada pihak hospital memaklumkan bahawa keputusan ujian DNA tersebut akan mengambil masa antara dua minggu hingga empat bulan.
“Bedah siasat telah selesai dan kami juga perlu menunggu laporan rasmi daripada pihak polis,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Tambah Ruhayu, beliau turut akan bertemu dengan keluarga Suri untuk berbincang mengenai tindakan seterusnya.
Setakat ini, tiada pengesahan rasmi berhubung identiti mayat wanita yang ditemui itu.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, berkata mayat wanita berkenaan disyaki berkaitan kes orang hilang yang dilaporkan di Balai Polis Ampang Jaya, Selangor.
Susulan laporan tersebut, pada 18 Disember, satu laporan diterima di Balai Polis Pedas, Rembau, sebelum pihak polis bergegas ke sebuah rumah di Jalan Pedas–Linggi untuk pemeriksaan dan menemui sebuah beg berisi mayat seorang wanita yang ditanam.
Berikutan itu, pada hari yang sama, polis telah menahan seorang lelaki di Melaka yang disyaki mempunyai kaitan dengan penemuan mayat wanita tersebut.
Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 25 Disember bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ringkasan AI
- Rakan rapat mangsa yakin mayat yang ditemukan adalah Suri, dengan suspek merupakan orang yang dikenali
- Laporan kehilangan Suri Narudin, 53, dibuat sejak 8 Disember
- Kakak Suri menjalani ujian DNA di Hospital Rembau, keputusan memakan waktu dua minggu hingga empat bulan
- Tiada pengesahan rasmi identiti mayat wanita yang ditemukan
- Seorang lelaki telah ditahan oleh polis berkaitan dengan kes ini, direman selama tujuh hari
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
