Polis belum sah mayat dalam beg adalah Suri

A
A
A

REMBAU – Walaupun polis masih belum mengesahkan mayat wanita yang ditemukan di dalam beg di belakang sebuah rumah tidak berpenghuni di Kampung Batu 4, di sini, adalah milik ‘Suri’, namun kenalan dan ahli keluarganya kelihatan hadir di Unit Perubatan Forensik Rembau pada Jumaat.

Seorang wanita yang dikenali sebagai Jue, 53, berkata, Suri merupakan rakan sekampungnya di Kuching, Sarawak dan mereka bersama-sama datang ke Semenanjung untuk bekerja.

“Tetapi Suri yang datang dahulu ke Semenanjung, kemudian barulah saya sebelum masing-masing membawa haluan sendiri.

“Kami sekampung dan rapat sejak zaman muda. Dia sangat disayangi rakan-rakan kerana suka membantu serta pemurah.

“Jika betul itu (mayat) Suri, saya kehilangan seorang kawan yang pemurah dan suka membantu,” katanya kepada pemberita.

Sebelum ini, media melaporkan polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan seorang wanita bernama Suri Narudin, 53, yang dilaporkan hilang sejak 8 Disember lalu.

Polis menerima laporan kehilangan wanita itu di Balai Polis Ampang.

Bagaimanapun, Jue enggan mengulas lanjut mengenai kes tersebut kerana proses pengecaman belum dibuat bagi mengesahkan mayat yang ditemui itu adalah rakannya yang dilaporkan hilang sebelum ini.

Tambahnya lagi, laporan polis dibuat oleh anak saudara mangsa yang berusia 30 tahun dan bukannya ibu saudara seperti yang dilaporkan media sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pemberita difahamkan proses bedah siasat terhadap mayat yang ditemui terbabit telah selesai.

Namun, sehingga jam 4 petang tadi, belum ada proses pengecaman mayat dibuat oleh mana-mana ahli keluarga.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Izham Jaafar berkata, lelaki yang ditahan disyaki merupakan rakan kepada beberapa individu yang dikenal pasti terbabit dalam kes penemuan mayat wanita itu.

Menurutnya, berdasarkan siasatan, suspek berkenaan berkemungkinan mengenali mangsa dan setakat ini polis belum mempunyai maklumat sama ada dia terlibat secara langsung atau tidak dalam kes itu.

“Lelaki ini juga memiliki enam rekod jenayah lampau termasuk dadah dan polis percaya terdapat beberapa individu lain yang turut terlibat dalam kes berkenaan,” katanya.

Ringkasan AI

  • Mayat wanita ditemukan di dalam beg di belakang rumah tidak berpenghuni di Kampung Batu 4, Rembau
  • Kenalan dan ahli keluarga wanita tersebut hadir di Unit Perubatan Forensik Rembau mengesahkan identiti
  • Wanita tersebut, Suri Narudin berusia 53 tahun, dikenali hilang sejak 8 Disember
  • Polis telah menahan seorang lelaki disyaki berkaitan dengan kes tersebut
  • Lelaki yang ditahan mempunyai enam rekod jenayah lampau termasuk dadah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!