7 maut dalam nahas pesawat kecil di lapangan terbang North Carolina, AS

NEW YORK - Tujuh orang maut pada Khamis selepas sebuah jet kecil mengalami nahas di sebuah lapangan terbang wilayah di Statesville, North Carolina, lapor Xinhua memetik kenyataan polis.
Menurut pihak polis, antara yang terkorban dalam nahas itu termasuk bekas pemandu NASCAR (National Association for Stock Car Auto Racing), Greg Biffle, isteri serta dua orang anak mereka.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) memaklumkan jet jenis Cessna C550 itu mengalami nahas kira-kira jam 10.20 pagi waktu tempatan semasa sedang mendarat, yang kemudiannya mencetuskan kebakaran besar.
Berdasarkan laman sesawang penjejakan penerbangan FlightAware, pesawat itu berlepas dari lapangan terbang berkenaan sejurus selepas pukul 10 pagi, namun berpatah balik dan cuba mendarat semula di lokasi sama.
Rakaman video menunjukkan pasukan penyelamat bergegas ke landasan ketika serpihan pesawat yang bertaburan sedang dijilat api.
Pengurus Lapangan Terbang Wilayah Statesville John Ferguson memberitahu pemberita bahawa FAA kini mengambil alih lokasi nahas untuk siasatan lanjut.
"Lapangan terbang kini ditutup sehingga diberitahu kelak. Ia akan mengambil sedikit masa untuk membersihkan serpihan dari landasan bagi memastikan ia selamat semula," katanya.
FAA berkata, agensi itu bersama Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) sedang melancarkan siasatan terperinci mengenai punca kemalangan itu. - Bernama
Ringkasan AI
- Tujuh orang maut dalam nahas jet kecil di lapangan terbang wilayah Statesville, North Carolina
- Antara yang terkorban termasuk bekas pemandu NASCAR, Greg Biffle, isteri serta dua orang anak mereka
- Jet jenis Cessna C550 mengalami nahas semasa sedang mendarat dan mencetuskan kebakaran besar
- Pesawat itu berlepas dan cuba mendarat semula di lapangan terbang yang sama sebelum nahas
- FAA bersama Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan sedang melancarkan siasatan terperinci punca kemalangan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
