Pembayaran bil PBAPP tidak lagi diterima di pejabat pos mulai Januari 2026

Pathmanathan
Pathmanathan
A
A
A

GEORGE TOWN – Pengguna air di Pulau Pinang tidak lagi boleh membuat pembayaran bil air di pejabat pos dan beberapa agensi kutipan pihak ketiga mulai Januari 2026.

Ia susulan arahan baharu Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang melarang caj komisen dikenakan kepada pengguna.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk K. Pathmanathan berkata, keputusan itu dibuat selepas rayuan PBAPP kepada SPAN ditolak pada 25 November lalu, sekali gus memaksa penamatan kerjasama dengan agensi kutipan yang mengenakan caj komisen secara langsung kepada pengguna.

Menurutnya, mulai 2 Januari 2026, pembayaran bil air tidak lagi diterima di Pos Malaysia, diikuti Paylink dan MobilityOne bermula 3 Mac serta MBF mulai 31 Mac.

“Setelah bertahun-tahun PBAPP bekerjasama dengan agensi-agensi ini semata-mata untuk kemudahan pengguna.

“Bagaimanapun, PBAPP tidak memperoleh walau satu sen pun daripada kutipan bil melalui pihak ketiga,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau menjelaskan, pada tahun 2024, empat agensi terbabit merekodkan sebanyak 836,444 transaksi pembayaran bil air atau 27 peratus daripada keseluruhan transaksi bil air di Pulau Pinang, dengan caj komisen antara 40 hingga 90 sen bagi setiap transaksi yang dibayar terus oleh pengguna.

Bagaimanapun katanya, pada Februari 2025, SPAN memaklumkan bahawa pengguna air Pulau Pinang tidak boleh lagi dikenakan caj komisen kutipan bil secara langsung dan sekiranya PBAPP ingin mengekalkan perkhidmatan kutipan pihak ketiga, kos komisen perlu ditanggung sepenuhnya oleh PBAPP.

Mengulas rasional penamatan itu, Pathmanathan berkata, PBAPP tidak mampu menanggung kos tambahan memandangkan kadar air domestik Pulau Pinang ketika ini merupakan yang terendah di Malaysia, iaitu 86 sen bagi setiap meter padu untuk 35 meter padu pertama penggunaan bulanan, selain menyalurkan subsidi air domestik mencecah RM80 juta pada 2024.

Artikel Berkaitan:

“Kami juga perlu memastikan dana mencukupi untuk projek-projek bekalan air baharu yang mendesak selain berdepan ketidaktentuan caj komisen yang mungkin meningkat pada masa hadapan,” katanya.

Menurutnya, pengguna air Pulau Pinang masih mempunyai 14 pilihan pembayaran bil tanpa caj komisen mulai 2026, termasuk pembayaran dalam talian melalui aplikasi mudah alih myPBA, portal myPBA, JomPay, Maybank2U dan EasyPay.

“Bagi pengguna yang lebih gemar urusan secara bersemuka, PBAPP menyediakan sembilan Pusat Khidmat Pelanggan di seluruh Pulau Pinang dan Seberang Perai dengan kaedah pembayaran tanpa tunai.

“PBAPP memohon maaf atas sebarang kesulitan susulan penamatan empat saluran pembayaran tersebut dan menegaskan langkah berkenaan dibuat bagi mematuhi sepenuhnya arahan SPAN sebagai operator bekalan air berlesen,” tambahnya.

Ringkasan AI

  • Pengguna air di Pulau Pinang tidak boleh bayar bil di pejabat pos dan agensi tertentu mulai Januari 2026
  • Arahan SPAN larang caj komisen kepada pengguna
  • Keputusan dibuat selepas rayuan PBAPP kepada SPAN ditolak
  • Empat agensi rekodkan 836,444 transaksi tahun 2024, dengan caj komisen 40 hingga 90 sen per transaksi
  • PBAPP tawar 14 pilihan pembayaran bil tanpa caj komisen mulai 2026, termasuk dalam talian dan sembilan Pusat Khidmat Pelanggan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!