Kenderaan bekalan makanan tidak disekat: Ismail Sabri

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. -Foto Bernama
Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Tiada sekatan ke atas kenderaan yang membawa bekalan makanan termasuk sayur-sayuran sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beberapa dakwaan kononnya di Cameron Highlands, kenderaan tidak boleh membawa sayur adalah fitnah.

Malah katanya, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador turut memberi jaminan kenderaan yang membawa bekalan makanan akan diberi laluan mudah bagi melancarkan proses penghantaran.

“Tidak ada sekatan kepada kenderaan yang membawa bahan mentah makanan.

"Sebab (sebelum ini) terdapat beberapa berita fitnah kononnya di Cameron Highlands kenderaan tidak boleh bawa sayur, itu tidak benar,” katanya seperti dipetik portal berita Free Malaysia Today.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat harian menteri-menteri dan pihak berkepentingan dalam mendepani wabak koronavirus (Covid-19) di Perdana Putra.

Berikutan itu, beliau meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan berita palsu kerana ia akan menyulitkan lagi keadaan.

Media sebelum ini melaporkan petani di Cameron Highlands terpaksa membuang beratus tan sayur setiap hari.

Artikel Berkaitan:

Ia kerana waktu operasi pasar awam yang terbatas dan sekatan trafik di jalan raya sewaktu PKP dikatakan menimbulkan kesan rantaian negatif terhadap bekalan sayur dan makanan mentah di pasaran.

Disebabkan pelbagai kekangan dan syarat yang dikenakan pihak berkuasa, ramai penjual sayur dan pemandu lori sayur mengadu mereka sanggup menghentikan perkhidmatan bagi mengelak kesulitan itu.

Paling terkesan dengan keadaan itu adalah Pasar Borong Kuala Lumpur.