Doktor dihukum penjara seumur hidup racun 30 pesakit

Pechier. Foto: AFP
Pechier. Foto: AFP
A
A
A

BESANCON - Sebuah mahkamah di Perancis pada Khamis telah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas seorang doktor kerana meracun 30 pesakit kanak-kanak dan dewasa.

Ia dilaporkan sebagai cubaan untuk memburukkan nama rakan sekerjanya.

Tertuduh, Frederic Pechier, 53, bekerja sebagai pakar bius di dua buah klinik di bandar timur Besancon didapati melakukan perbuatan tersebut apabila pesakit-pesakit di bawah jagaannya mengalami serangan jantung dalam keadaan mencurigakan antara tahun 2008 dan 2017.

Dua belas daripada mangsa tersebut gagal diselamatkan.

Mangsa termuda Pechier, Teddy yang berusia empat tahun bagaimanapun terselamat daripada dua serangan jantung ketika menjalani pembedahan tonsil rutin pada tahun 2016 manakala mangsa tertua pula berusia 89 tahun.

“Anda akan dipenjarakan serta-merta,” kata hakim yang mengetuai perbicaraan, Delphine Thibierge.

Pechier yang menafikan sebarang salah laku dan tidak ditahan sejak permulaan siasatan, kelihatan tenang serta tidak menunjukkan sebarang reaksi.

Peguam daripada firma yang mewakilinya, Ornella Spatafora menyatakan bahawa dia akan memfailkan rayuan.

Sebelum ini, siasatan dilancarkan pada 2017 selepas serangan jantung yang mencurigakan direkodkan semasa pembedahan ke atas pesakit yang dianggap berisiko rendah.

Artikel Berkaitan:

Sepanjang perbicaraan yang berlangsung lebih tiga bulan, pendakwa raya menuntut hukuman penjara seumur hidup dengan menyifatkan Pechier menggunakan ilmu perubatan untuk membunuh.

Pechier didakwa mencemarkan beg infusi (IV) dengan kalium, ubat bius tempatan, adrenalin dan juga bahan antikoagulan bagi mencetuskan serangan jantung atau pendarahan kepada pesakit yang sedang dirawat oleh rakan sekerjanya.

Menurut pendakwa raya, tujuannya adalah untuk menyakiti psikologi kakitangan perubatan yang mempunyai konflik dengannya selain untuk memuaskan ketaasubannya terhadap kuasa.

Pechier berkata, semasa siasatan bahawa kebanyakan kes keracunan tersebut adalah hasil daripada kesilapan perubatan yang dilakukan oleh rakan sekerjanya.

Walaupun dia mengakui semasa perbicaraan bahawa memang terdapat individu yang meracun pesakit di salah satu daripada dua klinik tempatnya bekerja, namun dia menegaskan individu itu bukan dirinya.

Sambil mengalirkan air mata dalam perbicaraan awal bulan ini, Pechier turut menceritakan cubaan membunuh dirinya pada tahun 2021.

Ringkasan AI

  • Seorang doktor di Perancis dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup kerana meracuni 30 pesakit
  • Ini dilakukan untuk memburukkan nama rakan sekerjanya
  • Frederic Pechier didapati menyebabkan serangan jantung yang mencurigakan pada pesakit antara 2008 dan 2017
  • Dua belas mangsa tidak dapat diselamatkan termasuk pesakit serendah empat tahun
  • Pechier menafikan salah laku dan peguamnya akan memfailkan rayuan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!