[VIDEO] 'Peluang sekali seumur hidup' - Pelajar teruja buat persembahan grafik manusia

A
A
A

PUTRAJAYA - Sambutan Hari Kebangsaan 2025 yang berlangsung pada Ahad menyaksikan persembahan teres grafik manusia melibatkan penyertaan seramai 2,000 pelajar di Dataran Putrajaya.

Salah seorang peserta persembahan tersebut, Akma Nabiha Abdullah, 16, berkata, terdapat beberapa cabaran yang dihadapinya sepanjang persediaan untuk acara berkenaan termasuk dari segi pembahagian masa antara pelajaran dan latihan.

Ujar Akma Nabiha yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ideal Heights, Gombak, pengalaman yang diperoleh dalam penyertaan kali ini amat berharga dan menjadi kenangan manis buat dirinya.

"Saya rasa bangga dan teruja sebab ini umpama pengalaman sekali seumur hidup, malah saya telah sertai persembahan tersebut dari tahun lepas lagi.

"Cabaran utama saya adalah fokus. Selain itu, saya kerap tinggal kelas (untuk latihan persembahan) jadi saya perlu kejar balik pelajaran yang saya tertinggal itu.

"Memandangkan sekarang saya pelajar Tingkatan Empat dan banyak terlibat dalam kerja khusus, jadi itu agak mencabar untuk saya," katanya ketika ditemui di Dataran Putrajaya pada Ahad.

Sementara itu, peserta, Muhammad Adam Arif Anuar, 15, berkata, ini merupakan kali pertama menyertai persembahan tersebut bersama rakan-rakannya.

"Saya rasa agak berdebar kerana perlu buat persembahan di hadapan orang ramai seperti ini, memandangkan ini pengalaman kali pertama.

"Namun, saya jadikan ia sebagai pembakar semangat dengan harapan supaya dapat berikan persembahan yang terbaik pada hari ini," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, seorang lagi peserta, Syauqina Zulaikha Zulkifli, 16, berkata penyertaannya kali ini diharap menjadi persembahan yang terbaik dalam sambutan kali ini, sekali gus memberi peluang kepada dirinya untuk mengutip lebih banyak pengalaman berharga.

"Saya harap kami dapat berikan yang terbaik dalam sambutan kali ini dan orang ramai suka dengan persembahan kami.

"Ini juga merupakan kali kedua saya sertai persembahan sempena hari kebangsaan.

"Meskipun ada perubahan dari segi tarian dan sebagainya namun, saya seronok kerana dapat bertemu dengan rakan-rakan baharu sepanjang penganjuran acara ini," menurutnya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!