Zara Qairina: Kes hina mahkamah Shafie Apdal didengar 3 Februari, Mona Din didenda RM300

Mohd Shafie
Mohd Shafie
A
A
A

KOTA KINABALU - Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 3 Februari depan sebagai tarikh pendengaran kes bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhubung dakwaan menghina mahkamah berkaitan kenyataannya mengenai inkues kematian Zara Qairina Mahathir.

Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan membuat penetapan itu dan mengarahkan pihak pendakwaan memfailkan afidavit selewat-lewatnya pada 26 Disember ini.

Mahkamah turut menetapkan afidavit jawapan difailkan pada atau sebelum 9 Januari depan, manakala hujahan bertulis oleh kedua-dua pihak perlu dikemukakan selewat-lewatnya pada 19 Januari.

Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna tidak hadir ke mahkamah, namun diwakili pasukan peguamnya, Chen Ket Chuin KC, bersama Jakariya Ab Jalil dan Bartholomew Jingulam

Ket Chuin berkata, pihaknya telah memfailkan permohonan pada 15 Disember lalu bagi membatalkan prosiding komital tersebut.

"Selain itu, kami juga telah memfailkan afidavit sokongan bagi permohonan tersebut serta afidavit bantahan untuk mencabar prosiding komital," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, mahkamah kemudian mengarahkan pihak pendakwaan memfailkan afidavit jawapan selewat-lewatnya pada 26 Disember ini.

"Kami pula akan memfailkan afidavit balasan sebelum atau pada 9 Januari manakala hujahan bertulis hendaklah difailkan selewat-lewatnya pada 19 Januari 2026.

"Prosiding pendengaran pula ditetapkan pada 3 Februari 2026," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalan.

Sementara itu, dalam mahkamah sama, aktivis Che Muna Din atau lebih dikenali sebagai Mona Din yang didakwa mempersoalkan kenyataan saksi dalam inkues berkenaan 4 September lalu, mengaku bersalah.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM300 terhadap tertuduh dan jika gagal membayar, boleh dipenjara selama 14 hari.

Ringkasan AI

  • Mahkamah di Kota Kinabalu menetapkan 3 Februari untuk pendengaran kes bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkaitan dakwaan menghina mahkamah
  • Afidavit harus difailkan oleh pihak pendakwaan selewat-lewatnya pada 26 Disember
  • Afidavit jawapan perlu difailkan sebelum atau pada 9 Januari, hujahan bertulis oleh kedua-dua pihak pada 19 Januari
  • Mohd Shafie Apdal diwakili pasukan peguamnya di mahkamah
  • Mahkamah juga menjatuhkan hukuman denda RM300 terhadap aktivis Mona Din atas dakwaan mempersoalkan kenyataan saksi dalam inkues

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!