Imigresen Johor bongkar penggajian PATI di kilang komponen komputer

JOHOR BAHRU - Sebuah kilang komponen komputer di kawasan Perindustrian Tebrau di sini, diserbu Jabatan Imigresen menerusi Op Mahir pada Selasa, selepas disyaki menggajikan pendatang tanpa izin (PATI) sebagai pekerja.
Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, seramai 356 individu diperiksa dalam operasi bersepadu bermula jam 7 malam itu, merangkumi 299 lelaki dan 57 wanita.
Jelas beliau, operasi yang turut dibantu bantuan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) itu dijalankan susulan risikan penglibatan majikan dalam penggajian pekerja asing tanpa dokumen sah.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki Pakistan, 26 lelaki Bangladesh, seorang lelaki Nepal, 22 lelaki India, seorang lelaki Filipina, 246 lelaki Myanmar, 53 wanita Myanmar, seorang wanita Nepal serta tiga wanita Indonesia, berusia antara 18 hingga 46 tahun.
"Sewaktu serbuan mengejut itu dilakukan sebahagian warga asing cuba meloloskan diri bagi mengelak tindakan penguatkuasaan.
"Namun tindakan pantas anggota bertugas berjaya menutup semua laluan keluar premis. Turut ditahan dua warga tempatan yang dipercayai pegawai sumber manusia kilang terbabit," katanya dalam kenyataan.

Jelas Mohd Rusdi, pemeriksaan menyeluruh mendapati wujud unsur pelanggaran undang-undang imigresen secara terancang, termasuk kegagalan majikan mematuhi syarat penggajian pekerja asing yang ditetapkan.
"Kesemua warga asing yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
"Mereka kini ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika bagi siasatan serta tindakan lanjut," katanya lagi
Dalam pada itu, beliau berkata, Imigresen Johor menegaskan tidak berkompromi dengan mana-mana majikan yang berdegil melanggar undang-undang imigresen demi keuntungan.
“Operasi penguatkuasaan akan diteruskan secara berterusan, agresif dan menyeluruh di seluruh negeri Johor bagi memutuskan rantaian penggajian haram PATI serta memastikan kedaulatan undang-undang dan keselamatan negara terus terpelihara,” katanya.
Ringkasan AI
- Jabatan Imigresen menyerbu sebuah kilang komponen komputer di Johor Bahru kerana disyaki menggajikan pendatang tanpa izin
- Seramai 356 individu diperiksa dalam operasi tersebut merangkumi pelbagai warganegara
- Tindakan pantas anggota bertugas berjaya menahan individu yang cuba meloloskan diri
- Majikan didapati melanggar undang-undang imigresen secara terancang dengan gagal mematuhi syarat penggajian pekerja asing
- Imigresen Johor tidak berkompromi dengan majikan yang melanggar undang-undang dan akan terus mengadakan operasi penguatkuasaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

