Hadiah AS$50 juta untuk juara Piala Dunia

LONDON - FIFA mengesahkan yang hadiah wang tunai sebanyak AS$50 juta akan ditawarkan kepada negara juara pada Piala Dunia musim panas akan datang, ketika pertikaian mengenai harga tiket kejohanan itu terus memuncak, lapor PA Media/dpa.
Majlis FIFA meluluskan jumlah wang hadiah bagi kejohanan itu dalam satu mesyuarat di Doha pada Rabu, dengan jumlah keseluruhan dana yang disediakan untuk negara bertanding ditetapkan sebanyak AS$727 juta, meningkat 50 peratus berbanding Piala Dunia 2022 di Qatar.
Setiap negara akan menerima AS$1.5 juta daripada FIFA bagi kos persediaan, serta sekurang-kurangnya tambahan AS$9 juta kerana beraksi di peringkat kumpulan.
Pengesahan ini dibuat ketika kumpulan peminat menuduh FIFA bermain "permainan PR” berkaitan harga tiket.
Badan induk bola sepak dunia itu mengumumkan pada Selasa yang tiket berharga AS$60 akan disediakan melalui kuota yang dijual oleh persatuan kebangsaan kepada penyokong paling setia mereka, susulan kritikan meluas terhadap struktur harga awal FIFA yang didedahkan minggu lepas.
Namun begitu, hanya 10 peratus tiket dalam kuota itu akan ditawarkan pada harga ini.
Sebagai contoh, bagi perlawanan England menentang Croatia, ia hanya memberi manfaat kepada kira-kira 400 daripada lebih 4,000 penyokong yang layak membeli tiket melalui kuota Kelab Penyokong Kembara England (ESTC).
Bagi selebihnya, harga tiket akan bermula pada AS$230 untuk perlawanan pembukaan itu dan melonjak kepada AS$4,185 bagi perlawanan akhir. - Bernama
Ringkasan AI
- FIFA mengesahkan hadiah wang tunai sebanyak AS$50 juta untuk negara juara Piala Dunia akan datang
- Majlis FIFA meluluskan jumlah wang hadiah AS$727 juta untuk negara bertanding, meningkat 50 peratus dari Piala Dunia 2022
- Setiap negara menerima AS$1.5 juta untuk kos persediaan dan sekurang-kurangnya AS$9 juta untuk bermain di peringkat kumpulan
- Tiket berharga AS$60 disediakan untuk 10 peratus kuota tiket melalui persatuan kebangsaan kepada penyokong setia
- Harga tiket bermula dari AS$230 hingga AS$4,185 bagi perlawanan akhir, selepas kritikan terhadap struktur harga awal FIFA
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
