Clarke rayu penyokong Scotland jangan berhutang demi Piala Dunia

IMPIAN menyaksikan Scotland beraksi di pentas Piala Dunia 2026 tidak seharusnya dibayar dengan beban hutang.
Itu peringatan jujur daripada pengurus pasukan kebangsaan Scotland, Steve Clarke kepada penyokong yang merancang untuk terbang ke Amerika Syarikat (AS) tahun depan.
Clarke menyuarakan kebimbangan terhadap kos perjalanan dan harga tiket yang tinggi, sehingga berisiko menekan kewangan penyokong setia yang sanggup berkorban apa sahaja demi pasukan kesayangan mereka.
“Ia memang mahal. Perjalanan ke Amerika mahal, tiket juga mahal.
“Jika mampu dan berada dalam keadaan kewangan yang selesa, itu sangat baik. Namun jangan memaksa diri sehingga terjerumus ke dalam hutang,” katanya.
Kenyataan itu hadir ketika Persekutuan Bola sepak Antarabangsa (FIFA) menerima kritikan berhubung harga tiket yang boleh mencecah ribuan ringgit, sekali gus menimbulkan kegusaran dalam kalangan penyokong biasa, khususnya mereka yang mengikuti pasukan ke destinasi jauh sejak bertahun-tahun lalu.
Bagi Clarke, kesetiaan penyokong Scotland yang sanggup mengembara ke pelbagai pelosok dunia amat dihargai.
Justeru, beliau berharap mereka tidak mengorbankan kestabilan hidup hanya untuk satu kejohanan.
“Mereka yang sentiasa mengikuti pasukan ke tempat-tempat jauh memang layak berada di sana,” katanya sambil mengakui masih ramai penyokong menaruh harapan kepadanya untuk membantu mendapatkan tiket.
Dalam keterujaan menyambut Piala Dunia, Clarke mahu kegembiraan itu kekal sebagai kenangan manis dan bukan tekanan jangka panjang akibat beban kewangan.
Bagi penyokong Scotland, impian menyokong pasukan di pentas dunia tetap indah, namun Clarke mengingatkan satu perkara penting... bola sepak membawa kegembiraan, bukan kesusahan hidup.
Ringkasan AI
- Impian menyaksikan Scotland beraksi di pentas Piala Dunia 2026 tidak seharusnya dibayar dengan beban hutang
- Pengurus pasukan kebangsaan Scotland, Steve Clarke mengingatkan penyokong tentang kos perjalanan dan harga tiket yang tinggi
- Clarke menyarankan penyokong yang mampu dan dalam keadaan kewangan yang selesa sahaja yang patut ke Amerika
- Kesetiaan penyokong dihargai tetapi Clarke berharap mereka tidak mengorbankan kestabilan hidup demi satu kejohanan
- Clarke mahu kegembiraan menyokong pasukan di Piala Dunia kekal sebagai kenangan manis, bukan tekanan jangka panjang akibat beban kewangan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

