Ibu Timbalan Menteri Sarawak meninggal dunia akibat sakit tua

SIBU - Ibu kepada Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee, Fatimah Othman, meninggal dunia akibat sakit tua di sebuah pusat perubatan swasta di sini malam tadi.
Allahyarham yang berusia 91 tahun dilaporkan menghembuskan nafas terakhir pada jam 10.10 malam, sebelum jenazah dibawa pulang ke kediamannya di Jalan Kangkung, di sini, pagi Rabu.
Menurut maklumat Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka, upacara pengkebumian di Tanah Perkuburan Islam Kemuyang selesai pada jam 1.20 tengah hari.
Fatimah merupakan isteri kepada Allahyarham Rapaiee Tarip. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan lima anak lelaki dan seorang anak perempuan.
Dr Annuar juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Nangka dan Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
