Kabinet baharu diuji isu ekonomi, rasuah dan polemik dasar – Syahir

Laporan Sinar harian pada Selasa.
Laporan Sinar harian pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Pembentukan Kabinet baharu Kerajaan Madani yang diumumkan mengundang pelbagai reaksi, termasuk persoalan sama ada susunannya dibuat berasaskan merit atau sekadar untuk mengekalkan konsesi politik dalam kerajaan campuran yang dilihat semakin rapuh.

Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman berkata, keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengekalkan portfolio Menteri Kewangan, pemberian portfolio yang lebih strategik kepada DAP serta kedudukan UMNO yang kelihatan sekadar berpuas hati dengan jawatan diterima mencerminkan realiti politik semasa pentadbiran negara.

Menurut beliau, perhatian utama Kabinet seharusnya diberikan kepada dua kementerian dengan peruntukan bajet terbesar iaitu Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan kerana kedua-duanya memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.

“Selain itu, dua kementerian yang menjadi agenda besar DAP iaitu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Kementerian Wilayah juga perlu diberikan perhatian khusus, terutama berkaitan isu pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pelaksanaan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang dibantah banyak pihak,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Syahir menegaskan, ujian sebenar Kabinet baharu bukan sekadar pada pengumuman barisan menteri, sebaliknya terletak kepada ukuran prestasi serta persepsi rakyat terhadap keupayaan kerajaan mentadbir.

Dalam masa terdekat, ujarnya, beberapa isu besar menuntut pendirian tegas Kabinet termasuk soal ekonomi, rasuah, ratifikasi Perjanjian ART serta polemik berkaitan URA dan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

“Justeru, Kabinet perlu lulus ‘ujian bunyi’ untuk sekian kalinya,” tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Pembentukan Kabinet baharu Kerajaan Madani mengundang pelbagai reaksi termasuk persoalan merit dan konsesi politik
  • Syahir menyoroti keputusan PM Anwar Ibrahim mengekalkan portfolio Menteri Kewangan dan pemberian portfolio strategik kepada DAP
  • Perhatian utama Kabinet sepatutnya pada Kementerian Pendidikan dan Kesihatan kerana impak langsung kepada kehidupan rakyat
  • Dua kementerian penting bagi DAP, KPKT dan Wilayah, harus ditumpukan terutama isu URA dan pilihan raya PBT
  • Ujian sebenar Kabinet terletak pada prestasi dan persepsi rakyat tentang keupayaan mentadbir, bukan sekadar pengumuman menteri

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!