JKM cari waris kanak-kanak lelaki

BUKIT MERTAJAM - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mengesan waris kepada kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dikenali sebagai Zaki.
Menerusi satu kenyataan, JKM memaklumkan pihaknya menerima rujukan kes berkenaan daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang berhubung seorang kanak-kanak tanpa sijil kelahiran yang ditemui bersama seorang pengasuh warga Indonesia dalam satu operasi di Perkampungan Berapit, Simpang Ampat, pada awal bulan ini.
Rujukan itu diterima pada 2 Disember lalu selepas kanak-kanak berkenaan ditemui bersama pengasuh dikenali sebagai Antika Tiara di sebuah rumah dua tingkat di alamat Perkampungan Berapit, Simpang Ampat, di sini.
"Memandangkan kanak-kanak memerlukan pemeliharaan dan pelindungan di bawah seksyen 17(1)(d) Akta Kanak-Kanak 2001, kanak-kanak telah diletakkan dalam jagaan sementara Orang Yang Layak Dan Sesuai di bawah peruntukan Seksyen 19(2) Akta Kanak-Kanak 2001 mulai 4 Disember untuk siasatan Pelindung selanjutnya," jelas kenyataan berkenaan, pada Rabu.
Sehubungan itu, JKM memohon kerjasama ibu kandung atau waris kanak-kanak terbabit untuk hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Seberang Perai Tengah di Tingkat 2, Wisma Hock Teik, No. 1778, Jalan Ciku, Bukit Mertajam.
Orang ramai juga boleh menghubungi Pelindung kes, Norhasliza Abdullah di talian 04-538 2584 atau 04-538 5705, atau melalui e-mel norhasliza_a@jkm.gov.my bagi membantu mahkamah membuat keputusan terbaik berkaitan penempatan dan kebajikan kanak-kanak berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

