Kanak-kanak 5 tahun maut dilanggar MPV ketika lintas jalan

ALOR GAJAH - Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut selepas dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) ketika melintas jalan di Jalan Paya Mengkuang di sini pada petang Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.09 petang itu, mangsa dipercayai sedang melintas dari kawasan perumahan ke seberang jalan sebelum dilanggar sebuah Toyota Avanza dipandu oleh seorang lelaki berusia 64 tahun yang bekerja sebagai penyelia.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, ketika kejadian kenderaan tersebut dipercayai sedang bergerak dari arah Paya Mengkuang menuju ke Masjid Tanah.
“Akibat perlanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian kepala sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Masjid Tanah untuk mendapatkan rawatan.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, pemeriksaan mendapati terdapat kesan brek sepanjang kira-kira lima meter di lokasi kejadian, selain kenderaan terlibat mengalami kerosakan di bahagian hadapan termasuk bonet.
“Logo kenderaan serta plat pendaftaran turut tercabut akibat impak perlanggaran.
“Selain itu, saringan ujian air kencing terhadap pemandu MPV berkenaan telah dijalankan dan didapati negatif,” katanya.
Ujarnya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Alor Gajah bagi tujuan bedah siasat.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.
Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Nurul Salina Rosli di Balai Polis Trafik Alor Gajah melalui talian 011-2543 5507 atau hadir ke balai polis berhampiran.
Ringkasan AI
- Kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut dilanggar MPV saat melintas jalan di Jalan Paya Mengkuang, Alor Gajah
- MPV yang terlibat dalam kemalangan dipandu oleh lelaki berusia 64 tahun, bekerja sebagai penyelia
- Mangsa mengalami kecederaan serius di kepala dan disahkan meninggal dunia semasa mendapat rawatan di Klinik Kesihatan Masjid Tanah
- Pemeriksaan di tempat kejadian mendapati kesan brek sejauh lima meter dan kenderaan mengalami kerosakan di bahagian hadapan
- Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, siasatan lanjut masih berjalan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

