Sidang DUN Sabah: ADUN Dilantik syor kaji Rumah SMJ Atas Air

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah dicadang menjalankan kajian menyeluruh berkaitan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) Atas Air bagi komuniti yang menetap di kawasan perkampungan atas air di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Mohamed Razali Razi berkata, kajian menyeluruh harus dilakukan supaya reka bentuk perumahan dapat disesuaikan dengan realiti setempat dan keperluan sebenar rakyat.
"Pendekatan ini membolehkan lebih ramai keluarga dibantu tanpa menambah keluasan tanah, sekali gus menjadikan pelaksanaan Rumah Mesra SMJ lebih inklusif dan praktikal," katanya semasa membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026) 2025 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini pada Selasa.
Menyentuh berhubung pengumuman Belanjawan 2026 yang telah meningkatkan kuota Rumah Mesra SMJ daripada 20 hingga ke 50 buah rumah bagi setiap kawasan DUN, Mohamed Razali menyifatkan ia memberi kelegaan besar kepada golongan belia, khususnya pasangan muda yang masih belum mampu memiliki rumah sendiri.
"Namun, realiti di kawasan separa bandar seperti Sepanggar menuntut pendekatan yang lebih strategik. Isu utama bukan sekadar bilangan unit, tetapi keterbatasan tapak tanah akibat kepadatan penduduk yang semakin meningkat.
"Sebagai contoh, satu tapak tanah yang sebelum ini hanya mampu menempatkan sekitar 20 unit rumah setingkat, berpotensi menempatkan dua kali ganda jumlah Rumah SMJ sekiranya dibangunkan dalam bentuk Rumah SMJ Bertingkat.
"Ini bukan sahaja lebih cekap dari segi guna tanah, malah mampu memberikan lebih banyak rumah kepada orang-orang Sabah.
"Sehubungan itu, saya mencadangkan agar kerajaan negeri memperkenalkan pendekatan Rumah SMJ Bertingkat khusus untuk kawasan separa bandar, sebagai sebahagian daripada dasar perumahan mampan Sabah," katanya.
Ringkasan AI
- Kerajaan Sabah dicadang menjalankan kajian menyeluruh berkaitan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya Atas Air
- Kajian bertujuan untuk menyediakan reka bentuk perumahan yang sesuai dengan realiti setempat
- Pendekatan inklusif dan praktikal untuk membantu lebih ramai keluarga tanpa menambah keluasan tanah
- Belanjawan 2026 meningkatkan kuota Rumah Mesra Sabah Maju Jaya dari 20 ke 50 rumah bagi setiap kawasan DUN
- Mencadangkan pembinaan Rumah SMJ Bertingkat di kawasan separa bandar untuk menangani keterbatasan tapak tanah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

