[VIDEO] Penduduk Kampung Mohd Amin bimbang banjir kilat berulang

JOHOR BAHRU – Penduduk Kampung Mohd Amin di sini bimbang sekiranya kejadian banjir kilat Jumaat lalu berulang, susulan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini.
Difahamkan, paras air boleh meningkat sehingga melebihi satu meter sekiranya hujan lebat berterusan.
Bagi penduduk, Mohd Najib Hamzah, 65, keadaan cuaca yang mendung serta hujan renyai-renyai sepanjang hari mungkin menyebabkan insiden banjir kilat itu berlaku lagi.
Malah katanya, kali ini hujan mungkin lebih lebat dan paras air boleh naik lebih cepat berbanding kejadian Jumaat lalu.
“Kejadian berlaku secara tiba-tiba. Selepas solat Jumaat, hujan agak lebat dan paras air naik dengan cepat.
“Tetapi saya bersyukur kerana sempat mengalihkan barangan berharga seperti perkakasan elektrik ke tempat yang lebih selamat,” ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Nora Johan, 46, berkata, banjir kilat memaksanya menutup perniagaan pada Jumaat dan hanya dapat dibuka semula pada Sabtu.
Katanya, banjir kilat melanda kampung itu apabila air Sungai Chat melimpah dengan pantas dan keadaan itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk.
“Air banjir ini turut membawa lumpur dan sampah, menyukarkan pergerakan, khususnya penunggang motosikal.
“Kalau hujan berterusan, paras air boleh meningkat melebihi satu meter. Orang ramai perlu berjaga-jaga, termasuk memastikan peralatan elektrik tidak terdedah kepada air,” katanya.
Sementara itu, bagi Siti Nurfadira Mahathir, 22, kejadian banjir kilat di kawasan berkenaan bukan kali pertama berlaku, malah pernah mencatatkan paras air lebih tinggi sebelum ini.
Bagaimanapun katanya, pengalaman lalu menyebabkan penduduk lebih bersedia kali ini.
“Saya rasa ramai penduduk sudah buat persiapan dan bersedia sekiranya diminta segera berpindah ke kawasan lebih tinggi.
“Dalam masa yang sama, kami juga bersedia berdepan dengan perkara-perkara yang tidak dijangka,” katanya.
Ringkasan AI
- Penduduk Kampung Mohd Amin bimbang banjir kilat akibat cuaca tidak menentu
- Paras air boleh meningkat melebihi satu meter jika hujan lebat berterusan
- Mohd Najib Hamzah menyatakan kejadian banjir kilat berulang dengan hujan lebih lebat
- Nora Johan terpaksa tutup perniagaan sehari akibat banjir kilat
- Siti Nurfadira Mahathir menyatakan pengalaman lalu membuat penduduk lebih bersedia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

