TVET dan realiti baharu dunia pekerjaan

PENDIDIKAN dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini muncul sebagai antara pemacu utama kebolehpasaran tenaga kerja negara, sekali gus menepis tanggapan lama bahawa laluan kemahiran sekadar pilihan kedua selepas aliran akademik.
Statistik terkini menunjukkan sekitar 95.1 peratus graduan TVET berjaya memasuki pasaran pekerjaan, manakala majoriti memperoleh pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat latihan, satu pencapaian yang jarang dicapai dalam sektor pendidikan lain.
Pencapaian itu mencerminkan perubahan struktur dalam dasar pembangunan modal insan negara, apabila TVET tidak lagi dilihat sebagai agenda pinggiran, sebaliknya dijadikan komponen teras dalam strategi ekonomi dan kebolehpasaran tenaga kerja.
Di bawah pentadbiran Kerajaan Madani, agenda TVET diperkukuh melalui pendekatan penyelarasan menyeluruh merentasi pelbagai kementerian dan agensi, bagi memastikan latihan kemahiran benar-benar selari dengan keperluan industri semasa.
Peranan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjadi signifikan apabila beliau mempengerusikan Majlis TVET Negara yang bertanggungjawab menyelaras penglibatan lebih 10 kementerian berkaitan.
Melalui pendekatan ini, isu pertindihan program, ketidakpadanan kemahiran dan jurang antara latihan dengan pasaran kerja mula ditangani secara lebih sistematik dan berfokus.
Komitmen kerajaan turut dizahirkan menerusi peruntukan besar dalam belanjawan tahunan, dengan TVET menerima dana berbilion ringgit bagi menaik taraf institusi, kurikulum, fasiliti latihan serta penglibatan industri secara langsung.
Hasilnya, penyertaan belia dalam program TVET terus meningkat apabila lebih 430,000 pelajar kini mengikuti latihan kemahiran di seluruh negara, dengan lebih separuh lepasan sekolah menengah memilih laluan TVET sebagai pilihan utama.
Kadar kebolehpasaran yang tinggi membuktikan bahawa graduan TVET bukan sahaja mudah mendapat pekerjaan, malah semakin diterima dalam sektor berteknologi tinggi seperti automotif, pembuatan, aeroangkasa, tenaga dan ekonomi digital.
Dalam ekosistem ini, Majlis Amanah Rakyat (MARA) memainkan peranan penting melalui institusi seperti IKM, KKTM dan GiatMARA yang secara konsisten mencatat kadar kebolehpasaran graduan melebihi 96 peratus.
Kejayaan MARA didorong oleh pendekatan latihan berasaskan industri, penekanan kepada pensijilan profesional serta kerjasama strategik dengan syarikat tempatan dan multinasional yang menyediakan laluan pekerjaan jelas kepada graduan.
Latihan berorientasikan pekerjaan seperti perantisan, ‘industrial bootcamp’ dan jaminan penempatan kerja sebelum tamat kursus turut menjadi antara faktor utama graduan TVET cepat diserap ke pasaran.
Sementara itu, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memastikan agenda TVET tidak tertumpu di bandar semata-mata, sebaliknya diperluas ke kawasan luar bandar, komuniti B40 dan golongan rentan sebagai instrumen mobiliti sosial.
Pendekatan ini memberi peluang kepada belia luar bandar meningkatkan kemahiran, memperoleh pekerjaan bergaji munasabah dan keluar daripada kitaran kemiskinan secara lebih mampan.
Pada peringkat nasional, pengenalan sistem permohonan tunggal UP_TVET turut memudahkan akses pelajar kepada pelbagai institusi latihan kemahiran, sekali gus menjadikan laluan TVET lebih tersusun dan telus.
Selain itu, kerjasama antarabangsa dalam bidang TVET membuka peluang latihan berstandard global, termasuk pendedahan kepada teknologi dan amalan industri terkini yang meningkatkan nilai pasaran graduan tempatan.
Namun, kejayaan TVET tidak boleh diukur semata-mata melalui kadar kebolehpasaran, sebaliknya perlu dinilai dari sudut kualiti pekerjaan, gaji permulaan dan laluan kerjaya jangka panjang graduan.
Cabaran seterusnya ialah memastikan graduan TVET menikmati mobiliti kerjaya setara dengan kelayakan akademik, selaras dengan keperluan industri dan aspirasi negara menuju ekonomi bernilai tinggi.
Secara keseluruhan, transformasi TVET membuktikan bahawa pelaburan dalam kemahiran adalah pelaburan paling berkesan untuk masa depan negara, dengan TVET kini berdiri sebagai jambatan utama antara pendidikan, pekerjaan dan kesejahteraan rakyat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

