Azam tahun baharu masih sama, nak kurus!

BILA sudah di penghujung tahun macam biasa, masing-masing sudah mula fikir azam tahun baharu.
Tetapi ada satu azam yang nampaknya sudah jadi legenda iaitu azam nak kurus!
Bagi Merak Jalanan sendiri, sudah lebih 20 tahun azam ini wujud. Setiap tahun janji dengan diri sendiri, “Tahun ni mesti berjaya!” Tapi apabila tengok semula, berat badan masih seperti dulu juga malah makin bertambah.
Kadang-kadang rasa nak gelak sendiri, kadang-kadang rasa nak mengeluh. Iyalah masa berazam punyalah berkorbar-kobar tapi bila nampak makanan sedap mulalah isytihar ‘cheat day’ diet.
Masalahnya apabila mula belajar nak makan salad, rakan sekerja di pejabat datang hulurkan pisang goreng, nak tolak pelawaan macam tak elok pula.
Bila malam, rakan-rakan yang mengosongkan perut ketika waktu bekerja siang, ajak teman makan dan paling kurang terpaksa juga órder’ keropok lekor.
Macam mana nak berjaya kalau godaan sentiasa di depan mata. Walaupun sudah dua dekad tidak berjaya Merak Jalanan masih mempunyai azam yang sama tahun hadapan.
Bukan nak kurus semata-mata nak cantik tetapi untuk mengekalkan kesihatan dan penghargaan kepada diri sendiri. Jadi, jangan risau kalau sudah bertahun-tahun azam ini tak tercapai, anda tidak berseorangan. Yang penting selepas ini kita belajar mengenai kesabaran, disiplin dan kaedah mengawal pemakanan.
Mungkin tahun ni tak kurus macam impian dulu, tapi kita sudah lebih dekat dengan versi diri yang lebih sihat dan gembira.
Tahun 2026 boleh jadi tahun azam lama akhirnya mula berbuah, asalkan kita terus berusaha dengan konsisten dan tak mudah putus asa.
Jom kita mulakan diet tahun depan!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
