Toyota Vellfire terbakar sudah lebih 15 tahun digunakan - Ahli Parlimen Dungun

DUNGUN – Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli menjelaskan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire yang terbakar di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) baru-baru ini merupakan model lama yang sudah berusia lebih 15 tahun.
Menurut beliau, kenderaan Toyota Vellfire ANH20 (2.4L) keluaran tahun 2010 itu pada asalnya diwakafkan kepada Pas Kawasan Dungun pada 2022 bagi kegunaan organisasi, sebelum mesyuarat kawasan memutuskan untuk menjualnya ekoran kos penyelenggaraan yang tinggi.
"Nilai pasaran semasa bagi model ini adalah sekitar RM45,000 hingga RM65,000 bergantung kepada kondisi kereta.
"Harga jualan yang dipersetujui ialah RM60,000, dibayar secara ansuran sebanyak enam kali, dan saya membelinya untuk kemudahan urusan harian termasuk menghadiri kuliah, mesyuarat masyarakat serta tanggungjawab di Parlimen," katanya menerusi hantaran di laman sosialnya pada Khamis.
Beliau berkata, penjelasan itu dibuat bagi mengelakkan salah faham dan persepsi tidak tepat susulan insiden kebakaran tersebut yang tular di media sosial.
"Saya berharap perkara ini tidak disalah tafsir kerana tujuan utama saya membeli kereta tersebut hanyalah untuk kegunaan rasmi dan urusan masyarakat.
"Kita juga perlu berhati-hati dalam menyebarkan maklumat agar tidak menimbulkan fitnah yang boleh menjejaskan imej dan reputasi," ujarnya.
Dalam kejadian sebelum ini, kenderaan dipandu Wan Hassan bersama isterinya, Siti Zaliha Mohamad, terbakar di Kilometer 330 LPT2 berhampiran susur masuk Plaza Tol Paka, Isnin lalu.
Kejadian sekitar jam 12.15 tengah hari itu menyebabkan MPV berkenaan musnah sepenuhnya, namun tiada kecederaan berlaku.
Difahamkan, insiden berlaku ketika beliau bersama isterinya dalam perjalanan dari Kuantan untuk pulang ke Dungun sebelum menyedari kereta itu mengalami masalah pada bahagian enjin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
