Zelenskyy ke Berlin bincang perjanjian politik tamatkan perang Ukraine-Rusia

A
A
A

ISTANBUL - Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy berkata beliau akan menemui pegawai Amerika Syarikat (AS) dan Eropah di ibu negara Jerman, Berlin, "dalam beberapa hari ini” bagi membincangkan satu perjanjian politik untuk menamatkan perang Rusia-Ukraine, laporkan Anadolu Ajansi.

Dalam satu ucapan video Sabtu malam, Zelenskyy berkata, Kyiv sedang bersiap sedia untuk perbincangan di Jerman, sambil menambah Berlin akan menganjurkan beberapa acara dalam tempoh ini, termasuk taklimat oleh perunding kanan Ukraine Rustem Umerov serta pasukan rundingan negara itu berkenaan perbincangan yang diadakan.

Beliau berkata, Ketua Turus Am Andrii Hnatov, serta wakil sektor pertahanan dan keselamatan Ukraine, akan bekerja menyiapkan butiran jaminan keselamatan untuk Kyiv, sementara pegawai kerajaan meneruskan perbincangan dengan AS dan Eropah mengenai pemulihan dan pembangunan pasca perang negara itu.

"Yang paling penting, saya akan bertemu dengan utusan Presiden (Donald) Trump (AS), dan akan juga ada pertemuan dengan rakan kongsi Eropah kita, dengan ramai pemimpin, berkenaan asas keamanan - perjanjian politik untuk menamatkan perang,” kata Zelenskyy.

Beliau berkata, mereka sedang berusaha memastikan "keamanan untuk Ukraine adalah bermaruah” dan memperoleh jaminan untuk menghalang sebarang konflik masa depan.

"Dalam hari-hari ini di Berlin, kami akan bekerja seaktif dan konstruktif mungkin dengan semua pihak yang benar-benar dapat membawa perjanjian ini ke terma normal. Pertemuan dan hubungan selanjutnya juga akan menyusul,” tambahnya.

Kenyataan Presiden Ukraine itu dibuat ketika pejabat Canselor Jerman, Friedrich Merz mengumumkan beliau akan menjadi tuan rumah Zelenskyy dan beberapa pemimpin Eropah di Berlin pada Isnin bagi membincangkan perkembangan terkini dalam rundingan damai.

Jurucakap kerajaan Jerman Stefan Kornelius berkata dalam kenyataan pada Jumaat bahawa Merz terlebih dahulu akan mengadakan perbincangan dua hala dengan Zelenskyy mengenai kerjasama ekonomi Jerman-Ukraine dan status rundingan keamanan yang sedang berlangsung.

"Pada sebelah malam, ramai ketua negara dan kerajaan Eropah, serta wakil tertinggi EU (Kesatuan Eropah) dan NATO (Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara), akan menyertai perbincangan,” kata Kornelius, tanpa memberikan butiran lanjut tentang peserta mesyuarat atau agendanya.

Artikel Berkaitan:

Pada hari sama, Umerov yang berkhidmat sebagai Setiausaha Majlis Keselamatan dan Pertahanan Negara Ukraine, berkata beliau telah mengambil bahagian dalam persidangan video dengan penasihat keselamatan negara dari Ukraine, AS dan Eropah.

"Kami membincangkan penyelarasan kedudukan seterusnya, isu keselamatan dan langkah seterusnya dalam memajukan pelan keamanan,” tulis Umerov di platform media sosial Facebook, sambil menambah kerja diteruskan selari dalam beberapa bidang praktikal di Eropah dan AS.

Awal Sabtu, Agensi Berita Jerman (dpa) memetik sumber kerajaan yang menyatakan penasihat dasar luar dari AS, Ukraine, Jerman dan negara lain akan meneruskan perbincangan di Berlin pada Ahad mengenai kemungkinan gencatan senjata.

Utusan khas Trump, Steve Witkoff juga berlepas ke ibu negara Jerman untuk bertemu Zelenskyy dan pemimpin Eropah hujung minggu ini, menurut laporan Jumaat oleh The Wall Street Journal. - Bernama

 

 

 

 

Ringkasan AI

  • Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy akan bertemu pegawai AS dan Eropah di Berlin untuk membincangkan perjanjian politik menamatkan perang Rusia-Ukraine
  • Zelenskyy menyatakan persediaan Kyiv untuk perbincangan di Jerman dan pembentukan jaminan keselamatan untuk Ukraine
  • Ketua Turus Am Ukraine Andrii Hnatov akan terlibat dalam penyediaan butiran jaminan keselamatan
  • Pertemuan akan mencakupi perbincangan dengan utusan Presiden AS dan pemimpin Eropah berkenaan asas keamanan
  • Canselor Jerman Friedrich Merz akan menjadi tuan rumah untuk perbincangan perkembangan terkini dalam rundingan damai di Berlin

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!