Tangani gejala sosial zaman moden dengan ajaran al-Quran

Al-Quran ialah kerangka menyeluruh hidup yang membentuk akhlak.
Al-Quran ialah kerangka menyeluruh hidup yang membentuk akhlak.
A
A
A

KOTA BHARU — Gejala sosial zaman moden seperti keruntuhan moral dan kekeliruan identiti tidak memadai ditangani melalui undang-undang semata-mata, sebaliknya ia juga menuntut pendekatan pencegahan berasaskan pembinaan iman dan ajaran al-Quran.

Timbalan Pengerusi Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan (PRNNK), Muhamad Bokhari berkata, keruntuhan akhlak berpunca daripada kegagalan membina panduan hidup sejak usia muda apabila al-Quran tidak lagi dijadikan rujukan utama seterusnya mendorong kehidupan bebas tanpa sempadan.

Menurutnya, usia muda sering menjadi fasa mencuba pelbagai perkara tanpa sempadan dengan tujuan mendapatkan pengiktirafan sosial atau dianggap berani, sedangkan tindakan sedemikian dilakukan tanpa memikirkan kesan jangka panjang.

“Apabila hidup tidak berlandaskan al-Quran, sempadan halal dan haram menjadi kabur.

“Ada yang beranggapan boleh buat dahulu dan bertaubat kemudian, sedangkan sikap itu akhirnya merosakkan perancangan hidup,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Taklimat Pengurusan kepada Pengusaha Rumah Ngaji Negeri Kelantan di Kadok di sini pada Sabtu.

Beliau yang juga Perancang Strategik Hilwan Madani Quranic Center menjelaskan, iman dan akhlak yang gagal dibina sejak usia muda akan mengundang masalah lebih besar apabila seseorang meningkat dewasa termasuk kecelaruan emosi, keresahan hidup serta kegagalan mengawal nafsu.

Maklumat berhubung #SavingTheUmmah yang digerakkan PRNNK.
Maklumat berhubung #SavingTheUmmah yang digerakkan PRNNK.

Muhamad berkata, al-Quran bukan sekadar panduan ibadah, sebaliknya kerangka menyeluruh yang membentuk akhlak, prinsip hidup dan hala tuju masa depan sebagaimana digariskan dalam Surah al-Baqarah yang menekankan petunjuk serta kejayaan bagi mereka yang berpegang teguh kepada ajaran ALLAH.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut merujuk kisah pemuda al-Kahfi sebagai simbol keteguhan iman dalam mempertahankan prinsip ketika berdepan cabaran zaman, sekali gus menjadi teladan kepada generasi muda.

“Iman perlu dijaga ketika muda, jika tidak, apabila tua, hidup akan dipenuhi masalah.

“Jauh daripada al-Quran menyebabkan manusia hidup mengikut nafsu lalu timbul kekosongan jiwa dan keresahan,” katanya.

Dalam pada itu, Muhamad mengakui masih ramai anak muda di negara ini jauh daripada penghayatan al-Quran hingga mendorong kepada budaya merungut, hilang arah dan tekanan emosi yang berpanjangan.

“Usaha akan terus digerakkan PRNNK melalui gerakan #SavingTheUmmah untuk mendekati lebih ramai golongan belia melalui program berteraskan al-Quran,” ujarnya.

Ringkasan AI

  • Gejala sosial zaman moden memerlukan pendekatan berdasarkan pembinaan iman dan ajaran al-Quran
  • Keruntuhan moral berpunca dari gagalnya membina panduan hidup sejak usia muda
  • Kaburnya batas halal dan haram apabila hidup tidak berdasarkan al-Quran
  • Iman dan akhlak yang dibina sejak muda membantu mengelak masalah besar pada masa dewasa
  • PRNNK berusaha mendekati golongan muda melalui program berteraskan al-Quran

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!