YAKEB tak pernah pinggir Cikgu Ahmad

"YAKEB tidak pernah meminggirkan mana-mana bekas atlet yang pernah mengharumkan nama negara termasuk Ahmad Mahmud."
Demikian kata Pengurus Besar Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Zuhairi Abdul Manaf berhubung dakwaan Ahmad, 84, yang sukar menghubungi agensi tersebut selepas ditempatkan di sebuah pusat jagaan di Cheras, Kuala Lumpur seperti dilaporkan Sukan Sinar baru-baru ini.
Sebaliknya Zuhairi menjelaskan, pengurus operasi YAKEB sentiasa berhubung dan cakna dengan keberadaan Ahmad.
Malah pihaknya juga telah meluluskan permohonan elaun sara diri berjumlah RM500 sebulan untuk tempoh setengah tahun kepada bekas atlet tersebut.
Ahmad yang mesra dengan panggilan Cikgu Ahmad ialah bekas atlet yang mewakili negara dalam dua disiplin berbeza iaitu ragbi dan dekatlon serta pernah beraksi di Sukan Asia Bangkok pada 1966.
Rekod mata tertinggi dekatlon yang dicatatnya pada 1966 hanya dipecahkan 13 tahun kemudian oleh legenda olahraga negara, Allahyarham Hanapiah Nasir.
"Sebulan lalu kita telah meluluskan permohonannya untuk elaun sara diri. Kalau diikutkan beliau sememangnya tidak layak untuk memohon elaun tersebut kerana statusnya sebagai pesara kerajaan.
"Cuma mengenangkan jasa dan pengorbanannya sepanjang mewakili negara, kita luluskan juga. Elaun tersebut akan diberikan serta-merta sebaik sahaja kami mendapat nombor akaun bank daripada warisnya," ujar Zuhairi.
Mengulas lanjut, Zuhairi menegaskan, pihaknya komited dan prihatin dengan sebarang isu yang dihadapi oleh bekas atlet terutama ahli YAKEB yang berjumlah 3,200 orang.
“Pelbagai saluran boleh digunakan untuk berhubung dengan pengurusan YAKEB. Selain menerusi telefon, mereka juga boleh menulis surat kepada kami untuk tindakan lanjut.
“Sekiranya ahli YAKEB yang lain memerlukan sebarang bentuk tambahan bantuan boleh menghubungi kami di talian 03-20924844 atau emel yasmeen@yakeb.org.my,” katanya.
Beliau turut mengalu-alukan bekas atlet supaya menjadi ahli YAKEB bagi memudahkan mereka menerima bantuan berdasarkan kekangan dialami.
Sebagai rekod, YAKEB menawarkan 12 Skim Bantuan Khas meliputi khairat kematian ahli, suami atau isteri ahli, rawatan perubatan penyakit kritikal dan bukan kritikal, rawatan perubatan hospital (pesakit luar) dan bantuan alat sokongan perubatan.
Bantuan lain ialah bencana alam, melangsungkan perkahwinan, bantuan kewangan ahli dan bantuan melanjutkan pelajaran meliputi tiga kategori iaitu sijil, diploma serta ijazah.
Kesemua bantuan tersebut tertakluk kepada terma dan syarat.
Ringkasan AI
- YAKEB tidak meminggirkan bekas atlet Ahmad Mahmud dan sentiasa berhubung dengannya
- Ahmad menerima elaun sara diri RM500 sebulan untuk tempoh setengah tahun daripada YAKEB
- Bekas atlet itu mewakili Malaysia dalam ragbi dan dekatlon, pernah beraksi di Sukan Asia Bangkok 1966
- Rekod dekatlon Ahmad hanya dipecahkan 13 tahun kemudian oleh Hanapiah Nasir
- YAKEB komited membantu bekas atlet dengan menawarkan 12 Skim Bantuan Khas
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

