BN akan runding calon PRK Kinabatangan, Lamag - Ahmad Zahid

SEMENYIH - Barisan Nasional (BN) akan mengadakan perundingan dengan semua pihak, khususnya parti-parti yang membentuk kerajaan negeri Sabah, berhubung calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag susulan kematian penyandang kedua-dua kerusi itu, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara berkenaan perlu dibincangkan menerusi meja rundingan memandangkan BN kini merupakan sebahagian daripada kerajaan negeri Sabah.
"Oleh kerana kita menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri Sabah, tidak mustahil untuk kita mengadakan perundingan bukan sahaja dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), tetapi juga parti-parti lain yang pernah bertanding di Lamag sebelum ini.
"Bagi Parlimen Kinabatangan, kita juga akan berunding…jika perundingan dengan semua pihak dapat dilakukan, itu adalah kaedah yang lebih baik memandangkan tempoh Parlimen masih berbaki sehingga 24 bulan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Agung Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF) di sini pada Ahad.
Bung Moktar, 66, meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu, Sabah pada 5 Disember lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) sebelum ini memaklumkan Mesyuarat Khas bagi urusan PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag akan diadakan pada 16 Disember ini.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau belum diminta oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk mengemukakan nama calon bagi mengisi kekosongan jawatan dalam Kabinet.
"Perdana Menteri belum minta (nama). Apabila tiba masanya, saya akan memaklumkan kepada beliau,” katanya.
Ketika ini, beberapa portfolio Kabinet Madani masih kosong, termasuk Menteri Ekonomi, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri. - Bernama
Ringkasan AI
- Barisan Nasional akan berunding dengan parti-parti di Sabah untuk calon PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag
- Perundingan itu perlu memandangkan BN sebahagian dari kerajaan negeri Sabah
- Perundingan tidak terhad kepada GRS sahaja tetapi juga parti-parti lain yang bertanding sebelum ini
- Bung Moktar Radin, penyandang kedua-dua kerusi itu, meninggal dunia pada 5 Disember
- Mesyuarat Khas SPR untuk PRK tersebut akan diadakan pada 16 Disember
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
