Jurujual maut kereta bertembung lori sawit

SETIU – Seorang wanita maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah lori membawa muatan kelapa sawit di Kilometer 50, Jalan Pantai Kuala Terengganu–Permaisuri berhampiran Kampung Telaga Putat di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Mohd Zain Mat Dris berkata, kejadian kira-kira jam 6.11 petang itu melibatkan sebuah lori jenis Hino dan sebuah kereta Perodua Myvi.
Menurutnya, mangsa, Tuan Nur Amirah Tuan Azhar, 32, yang bekerja sebagai jurujual kereta disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah manakala pemandu lori berusia 41 tahun yang membawa muatan buah kelapa sawit tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Siasatan awal mendapati lori terbabit sedang bergerak dari Kampung Bari Besar menghala ke FGV Kampung Rahmat untuk menghantar muatan kelapa sawit.

"Apabila tiba di lokasi kejadian, kereta yang dipandu mangsa dari arah Kuala Terengganu menuju ke Pasir Puteh, Kelantan dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh bahagian hadapan lori berkenaan," katanya.
Mohd Zain berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Setiu untuk bedah siasat.
Menurutnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ringkasan AI
- Seorang wanita maut dalam kemalangan bertembung lori muatan kelapa sawit di Setiu
- Kemalangan melibatkan kereta Perodua Myvi dan lori Hino berlaku kira-kira jam 6.11 petang
- Mangsa, Tuan Nur Amirah Tuan Azhar berusia 32 tahun meninggal di tempat kejadian
- Lori terbabit sedang bergerak menghantar muatan ke FGV Kampung Rahmat
- Kereta mangsa dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh lori
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
