Pok Ku hasil replika bot persis asli

Engku Abbas menunjukkan replika bot patak itik yang sedang disiapkan di bengkel kecilnya di Kuala Besut, hasil buatan tangan yang mengekalkan keaslian seni pertukangan tradisi Terengganu.
Engku Abbas menunjukkan replika bot patak itik yang sedang disiapkan di bengkel kecilnya di Kuala Besut, hasil buatan tangan yang mengekalkan keaslian seni pertukangan tradisi Terengganu.
A
A
A

BESUT - Minat mendalam dalam seni pertukangan tradisional mendorong seorang tukang rumah di Kampung Beris Alur Pisang, Kuala Besut di sini menghasilkan replika bot nelayan mini dengan ketelitian luar biasa meskipun tanpa sebarang lakaran.

Engku Abbas Engku Ngah, 59, atau lebih dikenali sebagai 'Pok Ku' mula mendalami kemahiran itu ketika berusia 20 tahun selepas melihat sendiri proses pembinaan bot di pantai Kampung Air Tawar di Jerteh, tempat beliau dibesarkan.

"Setiap kali pulang dari laut ketika masih menjadi nelayan, saya akan berhenti memerhati tukang bot bekerja sebelum cuba hasilkan sendiri replika bot.

"Masa mula-mula buat dulu, dalam 80 peratus pun tak lengkap.. tak mahir mana. Kita tengok orang buat, belajar sikit-sikit. Lama-lama saya cuba buat sendiri dan menjadi walaupun tak sempurna," katanya ketika ditemui Sinar Ahad.

Beberapa replika bot yang sedang dalam proses pembinaan di bengkel Engku Abbas di Kampung Beris, Alur Pisang di Kuala Besut.
Beberapa replika bot yang sedang dalam proses pembinaan di bengkel Engku Abbas di Kampung Beris, Alur Pisang di Kuala Besut.

Katanya, sebelum 2017, beliau hanya menyiapkan satu atau dua replika bot dalam tempoh setahun kerana ketika itu masih aktif turun ke laut.

"Selepas berpindah ke Kuala Besut saya mula tumpu pembuatan replika bot sebagai pekerjaan sampingan selain menjadi tukang rumah.

"Sehingga kini saya sudah menghasilkan lebih 40 buah replika pelbagai bentuk dan corak, termasuk bot bubu, bot ngail (pancing), bot pukat kokok (tunda), bot kargo, bot model Siam serta rekaan bot tradisi Terengganu dan Kelantan.

Artikel Berkaitan:

"Model bot bentuk 'patak itik' (bahagian bawah belakang bot), patak wau bulan dan patak Terengganu antara paling digemari pelanggan," ujarnya.

Replika bot pukat jerut Terengganu dihasilkan Engku Abbas di bengkel kecilnya di Kampung Beris, Alur Pisang di Kuala Besut mampu terapung atas air digerakkan menggunakan alat kawalan jauh.
Replika bot pukat jerut Terengganu dihasilkan Engku Abbas di bengkel kecilnya di Kampung Beris, Alur Pisang di Kuala Besut mampu terapung atas air digerakkan menggunakan alat kawalan jauh.

Menariknya, Engku Abbas tidak menggunakan sebarang pelan atau garisan asas, setiap bot dibuat terus mengikut imaginasi atau berdasarkan gambar lengkap yang dihantar pelanggan.

"Kalau pelanggan nak bot sama macam gambar, mereka kena hantar gambar depan, belakang, kiri, kanan. Baru boleh buat betul-betul sama seperti warna, reka bentuk dan aksesori atas bot," katanya.

Bagi mendapatkan ketepatan reka bentuk, beliau kerap membuat tinjauan proses pembuatan bot di jeti Kuala Besut, Tok Bali dan Pulau Kambing.

"Sebab minat yang sangat tinggi, saya akan pergi jeti tengok cara mana nak tiru buat bot. Disebabkan minat mendalam tu kita akan mudah faham," kata bapa kepada tiga cahaya mata itu.

Beliau berkata, kerja-kerja pembuatan replika mengambil masa dua bulan bagi setiap unit, namun bagi model 'patak itik' memerlukan masa lebih panjang bergantung kepada kerumitan badan bot.

"Selepas struktur utama siap, saya akan menambah aksesori dan perincian lain sebelum diserahkan kepada pembeli.

"Setakat ini, empat unit masih belum dibeli dan sedang disiapkan secara berperingkat. Musim hujan begini kalau tak keluar buat rumah, saya akan habis kan masa membuat replika bot," katanya yang dibantu rakannya, Sharimi Muhamad, 45, bagi promosi dan jualan.

Engku Abbas menunjukkan replika bot model Kelantan (kanan) dan Terengganu (kiri), hasil seni pertukangan tradisi yang disiapkan dengan teliti di bengkel beliau di Kampung Beris, Alur Pisang di Kuala Besut.
Engku Abbas menunjukkan replika bot model Kelantan (kanan) dan Terengganu (kiri), hasil seni pertukangan tradisi yang disiapkan dengan teliti di bengkel beliau di Kampung Beris, Alur Pisang di Kuala Besut.

Menurutnya, setiap kali menyiapkan sesebuah bot, beliau teruja dan bersemangat untuk menghasilkan reka bentuk yang lebih cantik dan berkualiti.

"Kita buat body bot ni serupa macam tukang bot buat bot sebenar. Dia buat body panggil timbal lunas, naik kor, naik leper. Kita memang ikut betul-betul proses pembinaan bot besar dan tidak guna kayu tongkol (bulat) atau fiber," jelas beliau.

Katanya, kebanyakan bot dihasilkan terutama struktur bot seperti lunas dan linggi menggunakan kayu meranti atau cengal bagi memastikan ketahanan.

Sebahagian komponen khas seperti kotak gear mini turut ditempah dari Indonesia bagi memastikan replika kelihatan realistik dan mempunyai 'jiwa' seperti bot sebenar dan boleh digerakkan ketika berada di atas air.

"Bot-bot ini menggunakan enjin ditempah dan direka khas bagi membolehkan ia bergerak di atas air. Untuk menjaga ketahanan enjin, ia tidak boleh terlalu lama dalam air, selepas bermain dalam 15 minit perlu direhatkan seketika sebelum disambung semula," ujarnya.

Engku Abbas turut mengakui hubungan dengan dunia laut sudah sebati dengan dirinya sejak kecil.

"Ayah saya, Engku Ngah Engku Jusoh memang seorang nelayan. Jadi saya umur 13 tahun pun dah ikut dia turun ke laut," katanya

Hasil kerja tangan Engku Abbas yang dijual RM3,500 hingga RM6,000 itu bukan sahaja menarik minat pengumpul malah turut dibeli untuk dijadikan cenderamata sebagai tanda kenangan.

Ringkasan AI

  • Minat mendalam Engku Abbas Engku Ngah dalam seni pertukangan tradisional mendorongnya menghasilkan replika bot nelayan mini dengan ketelitian luar biasa tanpa lakaran
  • Engku Abbas, yang dikenali sebagai 'Pok Ku', mula mendalami kemahiran membuat replika bot pada usia 20 tahun setelah melihat proses pembinaan bot nelayan
  • Sejak berpindah ke Kuala Besut, beliau menghasilkan lebih 40 buah replika bot nelayan dalam pelbagai bentuk dan corak sebagai pekerjaan sampingan
  • Engku Abbas tidak menggunakan sebarang pelan dalam proses pembuatan, setiap bot dibuat terus dari imaginasi atau berdasarkan gambar lengkap dari pelanggan
  • Kerja-kerja pembuatan replika mengambil masa dua bulan bagi setiap unit, dengan harga jualan RM3,500 hingga RM6,000, menarik minat pengumpul dan dijadikan cenderamata

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!