Bot sumbat penumpang macam 'sardin' ditahan di Pulau Ketam

PELABUHAN KLANG - Tindakan tidak bertanggungjawab sebuah bot membawa penumpang melebihi kapasiti dibenarkan mengundang padah apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berhampiran Pulau Ketam di sini pada Rabu.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, bot tersebut ditahan pihaknya pada jarak kira-kira 0.4 batu nautika barat daya Pulau Ketam selepas menerima aduan awam pada jam 1.55 petang.
Menurutnya, bertindak atas maklumat, sebuah bot ronda Maritim Malaysia diatur gerak ke lokasi sebelum menahan bot penumpang berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan tiga kru warga tempatan terdiri daripada seorang nakhoda berusia 63 tahun serta dua kru masing-masing berusia 33 dan 59 tahun.
"Pemeriksaan lanjut mendapati bot berkenaan membawa 48 penumpang melebihi had dibenarkan iaitu seramai 12 orang seperti yang ditetapkan dalam lesen sah operasi," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, tindakan membawa lebihan penumpang ini merupakan kesalahan serius kerana melibatkan keselamatan nyawa sekiranya berlaku kecemasan atau kejadian tidak diingini.
Tegasnya, Maritim Malaysia telah mengeluarkan beberapa kali amaran, namun kes seumpama ini masih berulang.
"Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengusaha yang melanggar syarat lesen," ujarnya.
Tambahnya, bot terbabit bersama tiga kru dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.
"Maritim Malaysia mengingatkan komuniti maritim agar mematuhi syarat lesen dan aspek keselamatan penumpang setiap masa, selain meminta orang ramai menyalurkan maklumat atau aduan kecemasan di laut melalui Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 013-660 6652 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera," ujarnya.
Ringkasan AI
- Bot membawa penumpang melebihi kapasiti ditahan berhampiran Pulau Ketam
- Ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia setelah menerima aduan
- Bot dikendalikan oleh tiga kru warga tempatan dan membawa 48 penumpang, melebihi had 12 orang
- Tindakan membawa lebihan penumpang dianggap kesalahan serius melibatkan keselamatan
- Bot dan kru diserahkan untuk siasatan lanjut di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
