Tiada laporan diterima berkaitan panggilan kosong perdaya mangsa - Polis

KUALA LUMPUR - Tiada sebarang laporan polis diterima setakat ini berhubung dakwaan mangsa menerima panggilan kosong yang dirakam dan disalah guna menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk tujuan penipuan setakat ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, hasil semakan Unit Risikan JSJK mendapati pihaknya tidak menerima sebarang laporan berkenaan.
Beliau berkata, walaupun tiada laporan diterima setakat ini, orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada terhadap panggilan tidak dikenali yang mematikan talian secara tiba-tiba atau tidak mengeluarkan sebarang suara ini kerana ia berpotensi digunakan bagi tujuan eksploitasi suara.
"Orang ramai digalakkan supaya tidak menyebut sebarang maklumat peribadi ketika menerima sebarang panggilan mencurigakan.
"Paling penting adalah membuat pengesahan melalui talian rasmi sekiranya menerima panggilan yang mendakwa melibatkan pihak berkuasa atau institusi kewangan," katanya pada Sabtu.
Katanya, sebarang panggilan atau mesej yang meragukan hendaklah segera dihentikan dan dilaporkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
"Kerjasama orang ramai penting bagi memastikan sebarang taktik penipuan baharu dapat dikesan dan ditangani segera," katanya.
Ringkasan AI
- Tiada laporan polis diterima berkenaan panggilan kosong mengguna AI untuk penipuan
- Pengarah JSJK tidak menerima laporan mengenai isu tersebut
- Orang ramai dinasihatkan berwaspada terhadap panggilan tidak dikenali
- Digalakkan tidak menyebut maklumat peribadi ketika panggilan mencurigakan
- Sebarang panggilan atau mesej meragukan hendaklah dilaporkan kepada polis
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

