Isu dewan graduasi SADA: UUM jawab dakwaan Sanusi, nafi keputusan saat akhir

Ahmad Martadha (kiri) menunjukkan papan tanda Dewan Mu’adzam Shah terlibat dalam projek menaik taraf dan membaik pulih infrastruktur, termasuk penggantian bumbung, yang dijadualkan bermula 14 Mei 2025 hingga 14 November 2027.
Ahmad Martadha (kiri) menunjukkan papan tanda Dewan Mu’adzam Shah terlibat dalam projek menaik taraf dan membaik pulih infrastruktur, termasuk penggantian bumbung, yang dijadualkan bermula 14 Mei 2025 hingga 14 November 2027.
A
A
A

ALOR SETAR - Universiti Utara Malaysia (UUM) tampil memberikan penjelasan rasmi berhubung dakwaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengenai pembatalan penggunaan Dewan Mu’adzam Shah bagi Majlis Graduasi Syarikat Air Darul Aman (SADA) yang berlangsung pada Khamis lalu.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni merangkap yang menjalankan fungsi Naib Canselor UUM, Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, keputusan untuk tidak membenarkan penggunaan dewan berkenaan bagi sebarang penganjuran berskala besar telah dibuat lebih awal iaitu pada 1 Disember 2025.

Menurutnya, keputusan itu susulan pemeriksaan keselamatan yang mendapati berlaku kerosakan pada struktur bumbung dewan akibat hujan lebat dalam tempoh terdekat sebelum tarikh majlis.

"Keputusan tersebut bukan dibuat dua hari sebelum majlis seperti yang didakwa oleh pihak tertentu, sebaliknya berdasarkan pertimbangan keselamatan demi mengelakkan sebarang risiko kepada pengunjung dan warga yang terlibat.

“Sebagai sebuah institusi awam, UUM sentiasa mengutamakan aspek keselamatan dan kebajikan pengguna fasiliti kampus. Dalam isu ini, keselamatan serta keselesaan keluarga besar SADA yang hadir ke majlis graduasi berkenaan menjadi pertimbangan utama," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata demikian mengulas laporan Menteri Besar Kedah menyuarakan rasa kesal terhadap pihak pengurusan UUM yang didakwa membatalkan penggunaan dewan pada saat akhir, dengan alasan kerja-kerja pengubahsuaian, selain mengaitkan perkara tersebut dengan kemungkinan perbezaan fahaman politik.

Jelas Ahmad Martadha, keputusan berkenaan selari dengan notis edaran kepada semua staf pada 7 Mac 2025 yang memaklumkan Dewan Mu’adzam Shah, Teater Eksperimen dan Dewan Tan Sri Othman terlibat dalam projek menaik taraf dan membaik pulih infrastruktur, termasuk penggantian bumbung, yang dijadualkan bermula 14 Mei 2025 hingga 14 November 2027.

Bagaimanapun, kerja-kerja tersebut ditangguhkan sementara bagi memberi laluan kepada penganjuran Majlis Konvokesyen UUM pada November lalu sebelum disambung semula.

"Walaupun berlaku pertukaran lokasi majlis graduasi SADA, pihak pengurusan UUM menegaskan sokongan penuh tetap diberikan bagi memastikan kelancaran penganjuran program berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"UUM membantu dengan menyediakan pinjaman jubah, sebahagian kerusi serta kemudahan lain yang bersesuaian bagi memastikan majlis graduasi itu dapat dilaksanakan dengan baik di lokasi alternatif," ujarnya.

Tambah beliau, UUM turut menzahirkan penghargaan terhadap hubungan baik yang terjalin dengan SADA dan menyatakan kesediaan untuk terus bekerjasama dalam penganjuran program melibatkan masyarakat serta rakan strategik pada masa akan datang.

Ringkasan AI

  • UUM menyatakan keputusan tidak membenarkan penggunaan Dewan Mu'adzam Shah untuk Majlis Graduasi SADA dibuat lebih awal berdasarkan pertimbangan keselamatan
  • Keputusan itu susulan dari kerosakan struktur bumbung dewan akibat hujan lebat
  • UUM mengutamakan keselamatan dan kebajikan pengguna fasiliti kampus termasuk dalam isu pembatalan penggunaan dewan tersebut
  • Keputusan adalah selaras dengan notis edaran tentang projek menaik taraf infrastruktur dewan yang dijadualkan
  • Walaupun ada pertukaran lokasi, UUM tetap menyokong penuh kelancaran penganjuran Majlis Graduasi SADA

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!