Penjawat awam Sabah terima bantuan kewangan sebulan gaji atau minimum RM2,000

KOTA KINABALU - Seramai 18,853 penjawat awam Sabah menerima khabar gembira apabila kerajaan negeri mengumumkan bantuan khas kewangan sebanyak sebulan gaji atau minimum RM2,000.
Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun, ketika membentangkan Belanjawan Sabah Tahun 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini pada Jumaat.
"Pemberian bantuan khas kewangan sebanyak sebulan gaji atau minimum RM2,000 itu untuk kesemua anggota perkhidmatan awam Sabah termasuk yang berstatus kontrak, vot terbuka dan pekerja sambilan harian.
"Bayaran bantuan khas kewangan ini akan melibatkan seramai 18,853 orang dengan implikasi kewangan dianggarkan sebanyak RM52.6 juta," katanya.
Masidi berkata, bayaran bantuan khas itu akan dibuat dalam dua fasa, iaitu pada Februari sebelum Hari Raya Aidilfitri dan sebelum sambutan Pesta Kaamatan 2026.
"Bantuan khas kewangan ini turut dipanjangkan kepada pesara kerajaan Sabah berjumlah RM1,000 yang akan dibayar pada tahun hadapan," katanya.
Sebelum itu, Masidi membentangkan Belanjawan 2026 sebanyak RM6.402 bilion dengan Anggaran Hasil berjumlah RM6.430 bilion.
"Meskipun belanjawan ini mencatatkan sedikit penurunan berbanding tahun 2025, setelah mengambil kira anggaran hasil yang dapat dikutip, Belanjawan Sabah 2026 masih mencatatkan belanjawan lebihan (surplus budget) sebanyak RM28 juta," katanya.
Ringkasan AI
- Seramai 18,853 penjawat awam Sabah menerima khabar gembira apabila kerajaan negeri mengumumkan bantuan khas kewangan sebanyak sebulan gaji atau minimum RM2,000
- Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun, ketika membentangkan Belanjawan Sabah Tahun 2026
- Pemberian bantuan khas kewangan ini untuk kesemua anggota perkhidmatan awam Sabah termasuk yang berstatus kontrak, vot terbuka dan pekerja sambilan harian
- Bayaran bantuan khas itu akan dibuat dalam dua fasa, iaitu pada Februari sebelum Hari Raya Aidilfitri dan sebelum sambutan Pesta Kaamatan 2026
- Bantuan khas kewangan ini turut dipanjangkan kepada pesara kerajaan Sabah berjumlah RM1,000 yang akan dibayar pada tahun hadapan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

