Jutawan hartanah lapor polis, dakwa jadi mangsa laporan palsu

Mohamad Azlan menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Jerteh di Besut pada Jumaat berhubung dakwaan laporan palsu yang dibuat seorang individu ke atas dirinya.
Mohamad Azlan menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Jerteh di Besut pada Jumaat berhubung dakwaan laporan palsu yang dibuat seorang individu ke atas dirinya.
A
A
A

BESUT – Usahawan hartanah terkenal, Datuk Mohamad Azlan Abdullah atau lebih dikenali sebagai Azlan Al Amin tampil membuat laporan polis di Balai Polis Jerteh di sini kira-kira jam 3 petang pada Jumaat.

Laporan tersebut dibuat ke atas seorang lelaki kerana didakwa mengemukakan laporan palsu terhadap dirinya.

Menurutnya, tindakan itu diambil selepas beliau dimaklumkan bahawa individu berkenaan mengaitkannya dengan dakwaan penipuan dalam urus niaga hartanah membabitkan sebidang tanah milik arwah bapa lelaki tersebut.

Jelas Mohamad Azlan, laporan itu menyebabkan beliau disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu, namun memberikan kerjasama penuh sepanjang proses tersebut.

"Sepanjang siasatan dijalankan, saya sentiasa memberi kerjasama demi membersihkan nama daripada tuduhan yang saya percaya dibuat berdasarkan laporan palsu," katanya.

Jelas beliau, hasil siasatan yang dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara mengklasifikasikan kes itu sebagai No Further Action (NFA) atau Tiada Tindakan Lanjut.

"Disebabkan laporan berkenaan, saya dipandang serong dan dianggap tidak amanah dalam urusan perniagaan. Namun keputusan NFA membuktikan tiada unsur kesalahan dan saya bersyukur nama dibersihkan.

"Ini menunjukkan saya berada di pihak yang benar dan saya percaya laporan yang dibuat sebelum ini adalah tidak berasas," ujarnya.

Mohamad Azlan turut mendedahkan, individu sama juga pernah menuduhnya menipu hasil jualan dua bidang hartanah sebelum ini dan kes berkenaan telah dibawa ke Mahkamah Sesyen Besut.

Artikel Berkaitan:

Katanya, beliau telah memenangi saman fitnah terhadap individu sama dengan nilai RM590,000 pada 23 Mac lalu.

Dalam laporan terbaharunya, Mohamad Azlan memohon pihak polis menjalankan siasatan terperinci terhadap lelaki tersebut yang disyaki membuat laporan palsu.

Mohamad Azlan turut memberi amaran bahawa beliau tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu yang mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah atau tohmahan tidak benar terhadapnya.

"Ini penting bagi memastikan kebenaran ditegakkan dan mengelakkan mana-mana pihak sewenang-wenangnya membuat laporan palsu serta menyalahgunakan proses undang-undang," katanya.

Ringkasan AI

  • Usahawan hartanah, Datuk Mohamad Azlan Abdullah membuat laporan polis terhadap individu yang didakwa mengemukakan laporan palsu terhadapnya
  • Laporan dibuat di Balai Polis Jerteh mengenai dakwaan penipuan urus niaga hartanah
  • Mohamad Azlan memberi kerjasama penuh dalam siasatan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial
  • Hasil siasatan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara mengklasifikasikan kes sebagai Tiada Tindakan Lanjut
  • Mohamad Azlan telah memenangi saman fitnah bernilai RM590,000 terhadap individu yang sama sebelum ini

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!