Nasib Salah bakal ditentukan dalam masa terdekat, lima kelab sedia sambar

MASA depan bintang sensasi Liverpool, Mohamed Salah kini menjadi tanda tanya apabila dia dan pengurus pasukan, Arne Slot dijangka mengadakan pertemuan.
Nasib penyerang berusia 33 tahun itu di Anfield kini ibarat retak menanti belah susulan pendedahan panasnya baru-baru ini yang mendakwa kelab telah menganiayanya, selain mengakui tidak lagi mempunyai sebarang hubungan baik dengan Slot.
Situasi tegang itu menarik perhatian lima kelab luar negara yang kini bersiap sedia untuk mengemukakan tawaran perpindahan.
Salah sebelum ini disisihkan daripada skuad The Reds ketika kemenangan penting 1-0 menentang Inter Milan di tempat lawan pada Selasa, tindakan yang dipercayai berpunca daripada wawancara kontroversi beliau.
Kapten skuad kebangsaan Mesir itu turut membayangkan bahawa pertembungan menentang Brighton di Anfield pada Sabtu ini mungkin menjadi penampilan terakhirnya bersama Liverpool.
Salah dijadualkan terbang menyertai kem Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) minggu depan dan tidak akan kembali ke England sehingga Januari.
Ketika itu, jendela perpindahan musim sejuk sudah dibuka dan situasi ini dipantau rapat oleh kelab-kelab kaya dari Liga Pro Saudi dan Major League Soccer (MLS).
Laporan Daily Mail mendedahkan bahawa tiga gergasi Saudi iaitu Al-Hilal, Al-Qadisah dan Neom berminat mendapatkan khidmatnya, manakala kelab Amerika Syarikat, San Diego dan Chicago Fire turut mengikuti perkembangan semasa.
Liverpool bagaimanapun dilaporkan tidak berhasrat untuk menjual Salah yang baru sahaja menandatangani kontrak lanjutan dua tahun bernilai lebih £400,000 seminggu pada April lalu.
Namun, kelab-kelab yang berminat kini mengambil pendekatan tunggu dan lihat sama ada perdamaian boleh dicapai antara Salah dan Slot sebelum membuat sebarang langkah rasmi.
Dua tahun lalu, Liverpool pernah menolak tawaran lumayan £150 juta daripada Al-Ittihad. Musim berikutnya menyaksikan Salah mempamerkan prestasi terbaiknya dan membantu skuad kendalian Slot menjuarai Liga Perdana Inggeris.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Saudi, Omar Mugharbel ketika Sidang Kemuncak Bola Sepak Dunia di Riyadh berkata: "Mohamed Salah dialu-alukan dalam Liga Saudi, tetapi kelab yang bertanggungjawab untuk berunding dengan pemain. Pastinya Salah adalah salah seorang sasaran mereka," katanya.
Sementara itu, Slot membayangkan bahawa Salah sepatutnya menjadi individu yang memulakan langkah memohon maaf atas kenyataannya.
"Semua orang melakukan kesilapan dalam hidup, tetapi adakah pemain itu berfikir dia telah melakukan kesilapan? Soalan seterusnya ialah, adakah inisiatif itu perlu datang daripadanya atau saya? Itu satu lagi soalan yang perlu dijawab," kata Slot ketika ditemu bual Prime Video Sport selepas aksi Liga Juara-Juara.
Salah juga dilaporkan telah menjemput ibunya untuk hadir menyaksikan perlawanan Sabtu ini walaupun belum pasti sama ada dia akan diturunkan menentang Brighton.
"Saya akan berada di Anfield untuk mengucapkan selamat tinggal kepada peminat dan pergi ke Piala Negara-Negara Afrika. Saya tidak tahu apa yang akan berlaku apabila saya berada di sana nanti," jelas penyerang itu.
Ringkasan AI
- MASA depan Mohamed Salah di Liverpool tidak menentu kerana hubungannya dengan pengurus Arne Slot merosot
- Kelab-kelab luar negara menunjukkan minat untuk mengajukan tawaran perpindahan
- Salah diketepikan dari skuad untuk perlawanan penting menentang Inter Milan kerana wawancara kontroversinya
- Dia mungkin membuat penampilan terakhirnya untuk Liverpool dalam perlawanan menentang Brighton
- Salah dijadualkan menyertai kem Piala Negara-Negara Afrika dan tidak kembali ke England sehingga Januari, dengan kelab-kelab dari Liga Pro Saudi dan MLS memantau situasinya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
