BN dalam proses kenal pasti calon kerusi Kinabatangan, Lamag - Zambry

Zambry (kanan) bersama Mohd Zolkafly (kiri) meninjau pemandangan dari bangunan PSN Pulau Pangkor di Teluk Gedung pada Khamis.
Zambry (kanan) bersama Mohd Zolkafly (kiri) meninjau pemandangan dari bangunan PSN Pulau Pangkor di Teluk Gedung pada Khamis.
A
A
A

LUMUT - Barisan Nasional (BN) dalam proses mengenal pasti calon yang bakal diketengahkan mengisi kekosongan luar jangka kerusi Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag di Sabah.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, persiapan awal telah pun dimulakan oleh pucuk pimpinan parti bersama BN Sabah sebagai persediaan menghadapi pilihan raya kecil (PRK).

Menurut beliau, sebagaimana diumumkan Pengerusi BN, urusan mengenal pasti calon akan dikendalikan di peringkat bahagian Kinabatangan oleh Datuk Jafry Ariffin yang telah dilantik sebagai Pengerusi UMNO Sabah baharu.

"Pada peringkat ini, beberapa perbincangan awal telah pun dijalankan.

"BN Sabah mempunyai autonomi, jadi mereka akan mengadakan perbincangan (dalaman) terlebih dahulu sebelum memaklumkan cadangan nama kepada Pengerusi BN (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Majlis Penyerahan Kunci Penempatan Semula Nelayan (PSN) Pulau Pangkor Fasa ke-2 di Arena Teluk Gedung, Pulau Pangkor pada Khamis.

Hadir sama Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun.

Menteri Pendidikan Tinggi itu memaklumkan, keputusan lanjut termasuk pengumuman calon akan dibuat sendiri oleh Ahmad Zahid.

"Kesimpulannya, Yang Amat Berhormat Pengerusi BN akan mengumumkan dua perkara; pertama, siapa yang akan mengendalikan PRK bagi kedua-dua kerusi Parlimen dan DUN tersebut dan kedua, calon yang akan mewakili BN," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan akan mengadakan mesyuarat khas susulan kekosongan luar jangka bagi kerusi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag di Sabah selepas kematian penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Disember lalu.

Pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 baru-baru ini, Bung Moktar, 66, yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan mempertahankan kerusi DUN Lamag dengan majoriti 153 undi dalam saingan enam penjuru.

Ringkasan AI

  • Barisan Nasional sedang mengenal pasti calon untuk PRK di Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag, Sabah
  • Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengumumkan persiapan awal telah dimulakan
  • Proses pemilihan calon dikendalikan oleh pucuk pimpinan BN dengan autonomi BN Sabah
  • Keputusan tentang calon akan diumumkan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
  • Kerusi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag kosong selepas kematian Datuk Seri Bung Moktar Radin

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!