Keputusan jawatan senator diputus pimpinan tertinggi Kerajaan Perpaduan, bukan negeri - Aminuddin

SEREMBAN - Keputusan pelantikan dua senator daripada Pakatan Harapan (PH) di Negeri Sembilan dibuat oleh kepimpinan tertinggi Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, bukannya negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pentadbirannya akan sentiasa merujuk kepada pucuk pimpinan parti untuk membuat keputusan-keputusan tertentu.
"Apa yang penting sebenarnya ialah keputusan itu bukan dibuat oleh saya ataupun Exco Kanan Datuk Seri Jalaluddin Alias, tetapi keputusan yang telah dibuat oleh kepimpinan parti itu sendiri.
"Apa juga keputusan besar seperti itu memang kita rujuk kepada presiden kami. Jadi bagi saya, itu keputusan yang telah dibuat dan telah mendapat persetujuan," katanya ditemui pemberita selepas Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Ke-15 di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ahli Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan yang meluahkan rasa kecewa terhadap pembahagian jawatan politik di Negeri Sembilan yang didakwa tidak selaras dengan semangat kerjasama seperti diamalkan di peringkat Persekutuan.
Mohamad berkata, pembahagian jawatan sepatutnya dilakukan secara adil dan seimbang, sebagaimana yang dipraktikkan dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan.
Mengulas lanjut, Aminuddin menganggap teguran itu sebagai perkara biasa.
Ditanya berkenaan hubungan dengan BN Negeri Sembilan setakat ini, Aminuddin yang merupakan Pengerusi PH Negeri Sembilan mengakui yang pada awalnya hubungan itu agak janggal, namun kini semakin baik.
"Apabila telah berlangsung selama tiga tahun, nampak ada hubungan yang amat rapat dan saling memahami antara satu sama lain dan ini merupakan satu perkara yang baik.
"Apa yang paling menarik adalah hubungan di antara UMNO dan DAP itu sendiri. Mereka saling hormat -menghormati tentang apa juga keputusan dalam mesyuarat.
"Saya selalu Menteri Besar amat bersyukur kerana mereka melakukan yang terbaik," katanya
Aminuddin juga berpendapat yang hubungan baik dengan BN turut sampai sehingga ke peringkat akar umbi parti masing-masing, namun mengakui bukan semuanya berpuas hati.
"Memang ada sedikit-sedikit yang masih tak berpuas hati, kita nak 100 peratus itu agak sukar, tetapi saya yakin kalau kita faham tentang persahabatan, saya rasa itu antara yang harus kita teruskan," katanya.
Ringkasan AI
- Keputusan pelantikan dua senator daripada Pakatan Harapan di Negeri Sembilan dibuat oleh kepimpinan tertinggi Kerajaan Perpaduan di Persekutuan
- Menteri Besar Negeri Sembilan merujuk keputusan penting kepada presiden parti
- Teguran dari ahli Parlimen Rembau tentang pembahagian jawatan politik dianggap sebagai perkara biasa oleh Menteri Besar
- Hubungan antara PH dan BN di Negeri Sembilan pada mulanya janggal tetapi kini semakin baik
- Hubungan baik antara UMNO dan DAP dinilai positif dalam mesyuarat dan diharapkan dapat terus dipertahankan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

