Kerajaan perkasa rumah mampu milik, Residensi Madani kekal harga siling RM250,000

KUALA LUMPUR - Kerajaan memperluas penawaran rumah mampu milik khususnya kepada golongan muda dan pekerja bandar menerusi projek Residensi Memperkasa dan Residensi Madani, termasuk kawal selia harga siling bagi memastikan kediaman terus mampu dimiliki.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, projek perumahan seperti Residensi Akasia Jubilee yang diserahkan kepada pemilik hari ini menunjukkan kejayaan usaha menyediakan kediaman selesa pada harga berpatutan.
“Ramai penerima hari ini adalah orang muda yang bekerja di sekitar Kuala Lumpur. Rumah yang dekat dengan tempat kerja menjimatkan masa, meningkatkan produktiviti dan memberi mereka lebih masa bersama keluarga,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Kunci Residensi Akasia Jubilee di ibu negara, di sini pada Khamis.
Mengulas kajian yang menunjukkan harga rumah di ibu negara 4.3 peratus lebih tinggi berbanding antarabangsa, Dr Zaliha berkata, kerajaan kekal menetapkan harga siling bagi projek Residensi Madani.
“Buat masa ini, harga siling untuk Residensi Madani tidak melebihi RM250,000 bagi keluasan 800 hingga 850 kaki persegi dengan tiga bilik dan dua bilik air,” ujarnya.
Jelasnya, bagi Residensi Wilayah pula, harga ditetapkan sehingga RM300,000.
Tambahnya, kerajaan turut menggalakkan penyertaan GLC dan pemaju swasta untuk membina rumah mempermilik dengan syarat tertentu, termasuk menyediakan peratusan unit mampu milik dalam projek masing-masing.
Mengulas persediaan menghadapi monsun timur laut, Dr Zaliha berkata, 15 kawasan hotspot banjir dikenal pasti di sekitar ibu negara.
“Kita telah memasang siren amaran yang akan berbunyi apabila paras air mencecah 100 milimeter. Ini bagi membolehkan penduduk mengambil tindakan segera,” jelasnya.
DBKL turut bekerjasama dengan Jabatan Meteorologi, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan agensi lain dalam pemantauan cuaca serta kerja penyahkelodan (desilting), termasuk melalui kerjasama dengan Petra.
Seramai 370 anggota DBKL turut ditempatkan dalam mod bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir atau bencana lain.
"Hujan pada kadar 116 milimeter baru-baru ini lebih tinggi daripada kebiasaan 80 milimeter sejam – turut meningkatkan potensi banjir, " tambahnya.
Ringkasan AI
- Kerajaan memperluas penawaran rumah mampu milik untuk golongan muda dan pekerja bandar
- Projek Residensi Akasia Jubilee menunjukkan usaha kerajaan menyediakan kediaman selesa pada harga berpatutan
- Penerima adalah orang muda yang bekerja di sekitar Kuala Lumpur, memudahkan perjalanan ke tempat kerja
- Harga siling untuk Residensi Madani ditetapkan tidak melebihi RM250,000 bagi keluasan 800 hingga 850 kaki persegi
- Kerajaan menggalakkan penyertaan GLC dan pemaju swasta dalam menyediakan unit mampu milik dalam projek perumahan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

