Bekas ADUN persoal keputusan tutup Asrama Yayasan Terengganu

Pintu masuk Asrama Yayasan Terengganu Kemaman (AYTK) di Chukai, Kemaman dan Wan Hakim (Gambar kecil).
Pintu masuk Asrama Yayasan Terengganu Kemaman (AYTK) di Chukai, Kemaman dan Wan Hakim (Gambar kecil).
A
A
A

KEMAMAN - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar mempersoalkan keputusan Kerajaan Terengganu menutup Asrama Yayasan Terengganu Kemaman (AYTK) yang akan berkuat kuasa bermula 2026.

Menurutnya, keputusan itu memberi kesan besar kepada masa depan pelajar selepas hampir empat dekad institusi itu beroperasi bagi menempatkan pelajar luar bandar.

Beliau berkata, beliau menerima banyak pertanyaan ibu bapa yang mahu mendapatkan penjelasan lanjut susulan pengumuman penutupan asrama itu melalui surat rasmi yang dikeluarkan pada 1 Disember lalu.

"Sehingga kini tidak jelas punca kerajaan negeri mengambil keputusan menamatkan operasi asrama berkenaan yang ditubuhkan sejak 1986.

"Kita tidak tahu mengapa kerajaan mahu menutup asrama ini sedangkan ia disediakan bagi menempatkan pelajar terpilih dalam kalangan B40 dari kawasan pedalaman untuk bersekolah di sekitar bandar Chukai.

"Tindakan ini sudah tentu membebankan ibu bapa mereka untuk mencari penempatan baharu bagi anak-anak mereka untuk memulakan sesi persekolahan tahun hadapan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata, penubuhan asrama itu merupakan ilham Allahyarham bapanya, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad yang juga bekas Menteri Besar Terengganu sebagai usaha menyediakan peluang pendidikan setara untuk anak-anak yang tinggal di kawasan pedalaman.

Jelasnya, konsep itu selari dengan falsafah pentadbiran Allahyarham yang menekankan pendidikan sebagai jalan keluar daripada kemiskinan, terutama ketika Terengganu mencatat kadar miskin tegar mencecah 68 peratus pada 1974.

"Arwah tahu anak-anak di kawasan pedalaman tidak mungkin dapat bersaing dengan murid di bandar.

Artikel Berkaitan:

"Jadi asrama ini dibina supaya mereka didedahkan kepada suasana pembelajaran lebih tersusun, kelas tambahan dan bimbingan disiplin harian," katanya.

Wan Abdul Hakim berkata, pendekatan itu terbukti berkesan apabila hampir 100 peratus pelajar asrama berkenaan berjaya melanjutkan pengajian ke menara gading.

Mengulas alasan kemungkinan kekangan kewangan antara punca penutupan asrama itu, beliau menyifatkan ia sebagai tidak tepat memandangkan laporan kewangan negeri menunjukkan Terengganu menerima hampir RM1.5 bilion Dana Khas dan RM400 juta pemberian Persekutuan pada 2024.

"Kalau alasannya kewangan, tidak patut lagi guna naratif kononnya hak hasil minyak disekat.

"Emolumen kakitangan awam negeri mencecah hampir RM700 juta setahun, termasuk lantikan politik. Tetapi untuk rakyat dikatakan tiada peruntukan," katanya.

Beliau berkata, penutupan itu juga menimbulkan tanda tanya memandangkan Ahli Parlimen Kemaman yang juga Menteri Besar Terengganu ketika ini merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah YT.

Pada masa sama, Wan Abdul Hakim turut menyifatkan ketiadaan suara pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) menyebabkan kerajaan bebas membuat keputusan tanpa semak dan imbang.

"Bila DUN kamu kuasai 100 peratus tanpa pembangkang, kamu boleh buat apa sahaja. Tiada suara pembangkang.

"Kita hanya boleh berdoa kepada ALLAH SWT agar diberi petunjuk kepada pemimpin-pemimpin kita ini agar dibuka hati untuk berjuang untuk anak bangsa, bukan hanya untuk kepentingan politik.

"Doakan juga untuk arwah Baba saya, semoga ALLAH mengampunkan dosanya dan menempatkannya dalam kalangan orang beriman. Ada juga jasa arwah untuk anak bangsa," katanya.

Sebelum ini, YT dalam kenyataan berkata AYTK tidak ditutup atau dihapuskan, sebaliknya memberi laluan kepada pembinaan sebuah Sekolah Imtiaz baharu untuk menampung permintaan kemasukan yang mencecah lebih 5,000 pelajar setiap tahun.

Pengarahnya, Ahmad Farhan Abdul Wahab berkata, naratif yang mendakwa kawasan AYTK ditutup dan menzalimi pelajar adalah fitnah tidak berasas, sedangkan realiti sebenar ialah YT sedang memperluas peluang pendidikan berteraskan al-Quran di negeri ini.

Jelas beliau, penempatan pelajar sedia ada kekal terjamin malah ibu bapa telah dimaklumkan melalui sesi libat urus rasmi bersama pihak sekolah, YT, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Ringkasan AI

  • Bekas ADUN Air Putih persoalkan keputusan Kerajaan Terengganu menutup Asrama Yayasan Terengganu Kemaman yang beroperasi hampir empat dekad
  • Penutupan asrama ini membebankan ibu bapa pelajar dari kawasan pendalaman yang berpendapatan B40
  • Asrama ini diasaskan oleh Allahyarham Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad bertujuan menyediakan pendidikan setara bagi anak-anak pedalaman
  • Hampir 100 peratus pelajar asrama berjaya melanjutkan pengajian ke menara gading, menunjukkan keberkesanan asrama
  • Ketiadaan semak dan imbang di Dewan Undangan Negeri memungkinkan keputusan tanpa pertimbangan rapi, menimbulkan kebimbangan tentang masa depan pendidikan anak bangsa

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!